Pernah mendaki atau dengar mengenai Gunung Melaka? Tak pernah? Kami pun. Baru-baru ini Bukit Gapis telah diisytiharkan sebagai Gunung Melaka.
Bagi penggemar aktiviti mendaki bukit di Melaka mungkin mengenali Bukit Beruang atau Bukit Batu Lebah tetapi Bukit Gapis mungkin sedikit asing. Sememangnya Bukit Gapis kurang dikenali disebabkan kurang pendedahan terhadap kawasan yang sedikit terpencil ini.
Walaubagaimanapun ia semakin mendapat perhatian apatah lagi selepas menjadi viral meskipun sebelum ini sering menjadi tempat orang kampung mencari hasil hutan di sana.
Pengisytiharan Bukit Gapis sebagai Gunung Melaka secara rasmi pada 17 Oktober 2020 sempena Program Hiking Bukit Gapis bersama agensi kerajaan. Program tersebut dilaksanakan bagi melihat status bukit tersebut sebelum diiktiraf sebagai satu-satunya Gunung di negeri Melaka.
Ini membuktikan bahawa ianya merupakan satu kawasan berpotensi untuk menjadi tarikan terbaharu bagi aktiviti rekreasi dan riadah di negeri Melaka.
Sudah pasti ia menjadi satu berita yang menggembirakan bagi penggemar aktiviti pendakian dari Melaka yang selama ini hanya tertumpu di Bukit Beruang atau Bukit Batu Lebah
Ketinggian 480 meter itu menjadikan ianya melepasi syarat sesebuah bukit diiktiraf sebagai gunung iaitu 457.2 meter. Ini sekaligus menjadikan Bukit Gapis @ Gunung Melaka tempat paling tinggi di Melaka yang telah diiktiraf.
Lokasi Bukit Gapis @ Gunung Melaka
Bukit Gapis terletak di kawasan Nyalas iaitu di Daerah Jasin. Jika anda dari utara ke Melaka, anda boleh masuk dari Tol Simpang Empat. Jaraknya kira-kira 50 kilometer dari laluan tol tersebut dan melalui kawasan kampung.
Anda boleh klik link Google Maps ini https://goo.gl/maps/mcDpMviAhxMotKRE6
Terdapat juga banyak jalan-jalan kampung yang boleh anda gunakan untuk sampai ke kawasan ini termasuk dari Gemenchen, Negeri Sembilan atau Tangkak, Johor.
Sejarah Bukit Gapis
Bukit Gapis mempunyai sejarah tersendiri. Ia menjadi tempat pelindungan penduduk kampung ketika zaman penjajahan Jepun pada sekitar 1940-an.
Air yang mengalir di Bukit Gapis menjadi sumber air penduduk ketika itu. Sehingga kini masih terdapat anak sungai bukit yang selamat untuk diminum secara terus.
Terdapat juga bongkah penanda sempadan antara Melaka dan Negeri Sembilan yang diletakkan ketika era penjajahan British. Ini membuktikan wujudnya sejarah di Bukit Gapis yang menjadi salah satu tempat yang dihuni oleh penjajah British ketika itu.
Pengalaman Mendaki Di Bukit Gapis
Bukit Gapis yang berketinggian 480 meter atau 1570 kaki pada paras laut ini boleh dikategorikan sebagai dara apatah lagi tiada trek pendakian di kawasan terbabit. Melalui pendakian ini anda akan dapat melihat pelbagai jenis tumbuhan yang jarang ditemui serta merasai pengalaman melalui kawasan jeram yang hanya satu-satunya ada di Melaka.
Pendakian ke puncak Bukit Gapis tidak terlalu sukar. Ia memakan masa kira-kira satu setengah jam hingga dua jam melalui permukaan landai yang sedikit cerun.
Ianya sesuai terutama kepada pendaki-pendaki baharu atau untuk latihan kecergasan.
Melakacool berpendapat Bukit Gapis ini merupakan satu lokasi yang baik untuk menghilangkan stress terutamanya pendaki Melaka yang selama ini tertumpu di luar Melaka.
Mungkin dengan pengenalan Gunung Melaka ini akan menarik perhatian penggemar aktiviti rekreasi ini sekaligus dapat meningkatkan pendapatan ekonomi penduduk setempat. Apatah lagi kawasan Nyalas ini bersempadan negeri Johor .
Walau bagaimanapun diharap para pendaki dapat menjaga persekitaran kawasan Gunung Melaka ini. Pihak berwajib perlu memantau bagi mengelakkan ianya menjadi tempat rekreasi yang tidak terkawal dan dibiarkan kotor oleh para pengunjung. Pengawasan yang ketat perlu dilakukan secara berkala apatah lagi kawasan ini berhampiran dengan kawasan Empangan Asahan yang menjadi sumber air bagi sebahagian penduduk negeri Melaka.
Sekiranya aktiviti pendakian ini tidak terkawal pasti ia akan merosakkan ekosistem di kawasan tersebut. Selain itu perlu juga pengawasan kerana laluan masuk adalah melalui tanah persendirian iaitu sebuah ladang getah. Ia boleh mengganggu pemilik tanah tersebut terutama untuk mencari rezeki menoreh getah.
Berminat Untuk Mendaki Bukit Gapis @ Gunung Melaka
Untuk mendaki kawasan Bukit Gapis ini anda dicadangkan untuk menghubungi team Facebook Bukit Gapis atau wasap mereka di https://wa.me/60196619700 bagi mendapat kebenaran mendaki. Ini penting bagi mengelakkan berlaku masalah di kemudian hari.
Sumber : Melaka Hari Ini