Hari Raya dah dekat, tak sampai seminggu lagi untuk menyambut Aidil Fitri. Dah beli baju raya atau masih belum? Tak tahu nak ke mana untuk beli baju raya di Melaka? Biar kami tolong.
Salam Ramadhan kepada semua pembaca blog MelakaCool. Hari Raya pastinya tidak lengkap jika kita tak pakai baju raya di pagi Syawal. Pakaian Hari Raya pastinya ingin dicari terutama baju Melayu dan baju kurung yang akan menjadi pakaian wajib pada hari pertama perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti. Di Melaka memang banyak tempat yang anda boleh kunjungi ketika ini bagi memastikan kelengkapan di Hari Raya anda dapat disiapkan. Untuk mendapatkan tempahan pasti sudah ditutup oleh tukang-tukang jahit maka baju yang telah siap menjadi pilihan.
Kali ini, MelakaCool akan berkongsi beberapa lokasi untuk anda shopping baju raya di Melaka. Mudah-mudahan apa yang anda cari masih lagi ada stok.
Antara pusat pakaian untuk beli baju raya yang kami cadangkan ialah:
Jom Beli Baju Raya di Jakel Melaka
Jakel Melaka adalah sebuah gedung pakaian yang terletak di Bukit Piatu Mutiara. Di sana, anda boleh dapatkan pelbagai pilihan pakaian hari raya seperti baju Melayu, Kurta dan sampin songket. Jakel Melaka juga menawarkan pilihan warna yang memukau dengan harga yang berpatutan. Dengan reputasi sebagai antara pengeluar pakaian terbesar dan juga ternama di Malaysia, Jakel Melaka menjamin kualiti pakaian yang terbaik.
Set Baju Melayu Jakel datang sekali dengan butang baju melayu dan samping. Ia juga ada ditawarkan dengan harga rahmah, serendah RM149.
Jakel juga mempunyai koleksi baju kurung ready to wear. Bukan sahaja untuk anda, warna sedondon untuk ibu dan anak pun ada.
Kalau datang hujung minggu, bersedialah untuk bersesak. Kalau nak rileks sikit, ambillah cuti dan datang pada hari bekerja. Jakel juga menawarkan jualan baju raya secara online. Jika anda malas hendak ke sana, boleh jer beli baju raya online.
Jakel Melaka
63 Jalan BPM 1
Taman Bukit Piatu Mutiara
75400 Melaka
Facebook Jakel Melaka. Kedua-dua gambar di atas adalah dari FB Jakel.
Shopping Baju Raya Di Melaka Di Pasaraya Keluargaku
Pasaraya Keluargaku merupakan antara gedung pakaian yang popular di Melaka. Gedung pakaian yang memang asalnya dari Melaka ini menjadi antara lokasi kunjungan umat Islam di Melaka khasnya untuk mendapatkan pakaian berhari raya. Terletak berhampiran Masjid Al Azim memang mudah untuk mencari pasaraya ini. Selain dari baju terdapat juga kelengkapan untuk berhari raya yang boleh dibeli di pasaraya ini. Mudah bagi anda untuk persiapan di hari raya nanti.
Apa yang anda boleh dapatkan di Keluargaku Melaka:
- Family Set Raya sedondon
- Kurta Set Father & Son
- Sampin sedondon dewasa & kanak-kanak
Apa yang menariknya tahun ini, mereka menawarkan Baju Kurung Harga Rahmah serendah RM30 sepasang. Tapi promosi ini hanya dari 13 April 2023 sehingga 16 April 2023 (Ahad) sahaja.
Keluargaku (M) Sdn Bhd
No 35 Jalan KPAA 1
Kompleks Perniagaan Al-azim
75150 Melaka
Facebook Pasaraya Keluargaku
Beli Keperluan Raya Di Pasaraya Besar Mydin
Selaku pasaraya besar terunggul di Malaysia, Mydin juga menawarkan pilihan pelbagai jenis baju Melayu, baju kurung, kurta dan jubah dengan harga yang menarik. Meskipun Mydin tidak mengkhususkan pada pakaian dalam perniagaannya tetapi tawaran pakaian baju Hari Raya tetap berkualiti.
Di Melaka terdapat beberapa cawangan Mydin. Kami mencadangkan untuk anda singgah ke Mydin MITC. Ini adalah kerana pilihan pakaian baju hari raya di sini adalah yang paling banyak kalau dibandingkan dengan cawangan lain.
Mydin MITC
Mydin Mall MITC, No. 12, Hang Tuah Jaya
75450 Ayer Keroh
Melaka
Facebook Mydin Melaka
Yang menarik di Mydin MITC Melaka ialah macam-macam ada di sana. Bukan baju raya jer. Bazaar Raya pun ada dan anda layak untuk menyertai Cabutan Bertuah dengan hadiah wang tunai RM5,000, dengan setiap pembelian RM20. Berpuluh butik/vendor baju raya sedang berkampung selama sebulan Berpinar mata wehh! Semua Keperluan Raya ada wei dari hujung rambut sampai hujung kaki ada dekat bazaar aidilfitri. Harga semua boleh tawau ler bak kata orang melaka. Kalau tak boleh tawau bukan bazaar ler namanya.
Bazar Raya Murah Meriah @ MYDIN MITC Melaka
23 Mac – 21 April 2023
11 pagi – 12 tengah malam
Jom Shopping Raya Di Nagoya Textiles
Walaupun nama pasaraya ini dari Jepun namun terdapat juga kelengkapan untuk anda membeli pakaian untuk berhari Raya. Terletak di kawasan Melaka Sentral, ianya merupakan lokasi yang mudah untuk dicari. Pelbagai jenis baju Melayu samada yang tradisional atau moden di jual untuk anda semua. Kurta pun ada.
Nagoya Textiles
Lot No. A-63 to A71, C1 to C9 & Food Court Area
Bazaar Melaka Sentral
Jalan Tun Abdul Razak
75300 Peringgit
Melaka
Tel: 06-2818 521
Nagoya Textiles And Fashion
No. 145, 147 & 149
Jalan Bunga Raya
75100 Melaka
Tel: 06-2848 839
Facebook Nagoya Textiles
Kamdar Melaka
Antara gedung pakaian yang cukup dikenali. Kamdar yang terletak di Bachang ini, biasanya akan dipenuhi oleh orang ramai pada bulan Ramadhan untuk mencari pakaian Hari Raya. Lokasinya yang berdekatan dengan kawasan perindustrian juga menyebabkan ianya sering menjadi tumpuan kepada mereka yang ingin mencari pakaian hari raya.
Kamdar Bachang Utama
NO, 1, Jalan Tun Fatimah
Taman Bachang Utama
75350 Batu Berendam
Melaka
Koleksi Baju Melayu Al-Ikhsan Sports
Buat pertama kali Al-ikhsan Sports mengeluarkan Baju Melayu dan Kurta mereka sendiri. Terdapat 9 cawangan Al-Ikhsan di Melaka, sudah pastinya anda pernah ke salah satu cawangan mereka di Melaka Tengah, Alor Gajah, Jasin, Cheng dan Masjid Tanah.
Selebriti popular, Alif Satar, bersama atlet pelumba basikal kebangsaan, Datuk Azizulhasni Awang, adalah duta baju melayu dan kurta Al-Ikhsan Sports.
Berbeza dengan baju melayu sedia ada di pasaran, koleksi baju melayu dan kurta ini membawa kelainan dengan mengadaptasikan teknologi Pesak Ventech. Konsep itu menggunakan material jenis mesh pada bahagian bawah lengan di kiri dan kanan baju. Ia menjadikan koleksi pakaian ini anti peluh, cepat kering, selesa dan berangin, sesuai dengan cuaca di Malaysia yang panas. Malaysia kan panas dan lembab, sudah semestinya lebih selesa memakainya sepanjang hari.
Dapatkannya secara online di Al-Ikhsan atau di:
- Al-Ikhsan Sports Aeon Bandaraya Melaka
- Al-Ikhsan Sports Mahkota Parade Melaka
Tunggu apa lagi, jom beli-belah baju raya tahun ini di Lokasi Beli Baju Raya di Melaka yang kami senaraikan di atas. Tak kisahlah kelengkapan pakaian apa yang anda cari. Songkok, songket, baju melayu, butang baju melayu, baju kurung, kurta, jubah, apa sahaja yang anda cari pastinya ada.
Cuma anda kena cepat. Takut nanti saiz tak ada dan stok pun habis. Beraya dengan baju raya tahun lepas nanti. Tu pun kalau muat lagi 😛