Menarik di Melaka : Nama Serupa Lokasi Berbeza

Melaka memang mempunyai tarikan tersendiri tapi adakah anda pernah terkeliru dengan nama-nama tempat tertentu. Adakalanya nama tersebut pernah terdengar di tempat lain. Bagi mereka yang bermastautin di Melaka mungkin mengetahui tentang lokasi yang mempunyai nama sama atau hampir sama. Antaranya ialah :-

AYER MOLEK

Tahukah anda bahawa di Melaka mempunyai 2 tempat dengan nama Ayer Molek ? Bagi mereka yang tinggal di Daerah Melaka Tengah, pasti mengenali sebuah kawasan penempatan yang pesat membangun di Ayer Molek. Kawasan yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Melaka ini mempunyai banyak taman-taman perumahan di sekitarnya.

Bagi anda yang tinggal di kawasan Kuala Sungai Baru pula mungkin lebih mengenali dengan Ayer Molek di Kuala Sungai Baru. Berbeza sedikit dengan Ayer Molek di Melaka Tengah yang penuh dengan kawasan taman perumahan, kawasan Ayer Molek di Kuala Sungai Baru masih dalam perkampungan. Tetapi dengan pembangunan taman perumahan di sekitar kawasan tersebut akan menjadikan kawasan ini menjadi pilihan terutama bagi mereka yang bekerja di sekitar Kuala Sungai Baru dan Masjid Tanah.

DURIAN DAUN

Nama kawasan Durian Daun agak popular bagi calon-calon guru perempuan. Ini kerana di kawasan terdapat Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) Kampus Perempuan. Kawasan Durian Daun, Melaka Tengah adalah lokasi yang tepat bagi IPG tersebut. Tapi mungkin ada yang akan terkeliru bila singgah ke Masjid Tanah. Jika anda melalui jalan dari Lendu ke Masjid Tanah anda akan terjumpa papan tanda ‘Durian Daun’. Ini merupakan Durian Daun, Lendu dimana ianya merupakan kawasan pinggir Bandar Masjid Tanah.

Restoran Lot Lapan Lima
Restoran Lot Lapan Lima yang agak pupular di Durian Daun

PAYA RUMPUT

Di Melaka terdapat 2 lokasi dinamakan Paya Rumput. Seperti juga Ayer Molek dan Durian Daun, Paya Rumput terdapat di daerah Melaka Tengah dan juga di Masjid Tanah. Paya Rumput di daerah Melaka Tengah lebih besar dan popular kerana ia berdekatan Stadium Hang Jebat dan juga Masjid China manakala Paya Rumput di Masjid Tanah adalah merupakan perkampungan di pinggir bandar. Selain itu Paya Rumput juga pernah viral dengan Masbro Village, Homestay yang unik rekabentuknya.

homestay-masbro
Homestay Unik Paya Rumput yang viral sedikit masa dahulu

BUKIT SENGGEH

Bagi mereka yang tidak mahir dengan kawasan Jasin mungkin menyangka bahawa Kampung Bukit Senggeh dan Felda Bukit Senggeh adalah kawasan yang serupa atau berjiran. Tapi ia terletak lebih 15 kilometer antara satu sama lain. Walaupun masih dalam daerah yang sama namun kedua-dua berbeza. Kampung Bukit Senggeh terletak di kawasan Selandar dan agak dikenali oleh para pendaki bukit kerana terletak berhampiran Bukit Batu Lebah. Manakala Felda Bukit Senggeh pula telah menghampiri Asahan iaitu di pekan yang mempunyai satu-satunya lokasi air terjun di Melaka.

Selain dari nama-nama yang serupa di Melaka, terdapat juga lokasi yang hampir serupa nama di negeri lain. Sebagai contoh :-

MACHAP

Bagi orang Johor mungkin terkeliru dengan lokasi di Kluang, Johor. Di Melaka juga terdapat perkampungan dinamakan Machap. Terdapat beberapa Machap seperti Machap Umboo dan Machap Baru di perkampungan tersebut Machap Melaka ini juga termasuk kawasan empangan Durian Tunggal yang menjadi empangan utama membekalkan air kepada rakyat Melaka. Selain itu, terdapat juga Machap Walk yang menjadi tarikan untuk pengunjung datang ke lokasi ini.

KESANG

Jika di Muar terdapat kawasan dinamakan Kesang,di Melaka juga terdapat perkampungan yang dinamakan Kesang. Pecahan kampung tersebut terbahagi kepada Kampung Kesang Tua, Kesang Pajak, Kesang Jaya, Kesang Barat dan Sri Kesang. Kawasan Kesang, Melaka ini berada dalam daerah Jasin dan mempunyai banyak taman perumahan.

PULAI

Satu lagi nama perkampungan yang hampir sama dengan nama kawasan di Johor. Pulai di Melaka terletak di dalam daerah Jasin dan berhampiran dengan kawasan perkampungan nelayan di Serkam.

Inilah serba sedikit beberapa nama kawasan di Melaka yang namanya serupa ataupun hampir serupa. Sekiranya anda mempunyai maklumat-maklumat lain bolehlah berkongsi dengan MelakaCool dan rakan-rakan pembaca.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *