Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa semenjak 18 Mac 2020, haiwan yang berada dalam pemeliharaan Zoo Melaka bakal mengalami kekurangan makanan. Ini berikutan pendapatan Zoo Melaka dari kunjungan penonton bakal hilang.
Pendapatan RM8.8 juta yang dicatatkan pada tahun 2019 selepas menerima kunjungan pelawat sebanyak 535,000 pasti tidak akan dapat diperolehi tahun ini. Ia akan menyukarkan pentadbiran Zoo Melaka untuk menguruskan pemeliharaan haiwan-haiwan yang kebanyakan semakin pupus di negara kita ini.
Pihak pengurusan memerlukan pendapatan sebanyak RM180,000 sebulan hanya untuk kos makanan haiwan-haiwan tersebut. Ini merupakan angka yang tinggi untuk ditanggung oleh pihak Zoo Melaka. Meskipun mengalami kesukaran namun pihak Zoo tetap optimis untuk meneruskan kelangsungan pusat pelancongan terkenal di Melaka ini. Satu Tabung Sumbangan Zoo Melaka telah dilancarkan untuk membantu dalam membiayai kos-kos termasuk kos pengurusan Zoo Melaka yang melibatkan 28 kakitangan dan 650 haiwan daripada 120 spesies.
Menurut Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis, haiwan-haiwan tersebut perlu dipastikan sentiasa berada dalam keadaan sihat. Menurutnya, haiwan-haiwan tersebut perlu diberikan makanan pada waktu yang ditetapkan kerana haiwan ini akan mengamuk jika tidak diberikan makanan.
Yang DiPertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Shadan Othman menjelaskan bahawa lima harimau belang, seekor harimau belang putih Bengal, lima harimau kumbang dan dua singa memerlukan enam kilogram(kg) daging sehari.
Selain itu,pihak Zoo Melaka perlu menyediakan 300 kg rumput napier dan makanan tambahan lain untuk tiga gajah betina yang menjadi daya penarik selain binatang-binatang yang lain.
Menurutnya juga, ketika ini Zoo Melaka hanya memiliki dana sebanyak RM40,000 dan dijangka bakal bertambah selepas program Tabung Sumbangan Zoo Melaka dilancarkan. Ini merupakan satu inisiatif yang baik bagi meneruskan kelangsungan Zoo Melaka dalam memberikan pendidikan mengenai haiwan yang hanya dilihat dikaca tv sahaja.
Pihak Melakacool menyeru kepada pembaca semua untuk melakukan sumbangan tersebut kerana Zoo Melaka merupakan pusat pelancongan pertama yang akan ditemui oleh pelancong luar selepas keluar dari Plaza Tol Ayer Keroh.
Pasti semua pelancong akan singgah ke Zoo Melaka dan amat menyedihkan jika ianya tidak dapat beroperasi akibat kekurangan dana.
Sesiapa yang ingin menyumbang boleh menghubungi kakitangan Zoo Melaka Eriza (012-8976973) atau Shahira (011-12852789).
Nama penderma akan dipaparkan di laman facebook Zoo Melaka. Sila layari laman web dan Facebook Zoo Melaka untuk keterangan lanjut.
Sumber Berita : Akhbar Berita Harian
Kesian haiwan dalam zoo. Jom sama sama kita menyumbang walau sedikit
Betul. Mereka juga perlukan bantuan. Dah lah terkurung. Kalau lapar lagi lah stress.