Tun Mohd Ali bin Mohd Rustam Yang Di-Pertua Negeri Melaka ke 7

TYT Melaka

Mantan Ketua Menteri Melaka yang cukup sinonim dengan program pembanguan negeri Melaka serta slogan Melaka Negeriku Sayang, Datuk Seri Mohd Ali bin Mohd Rustam telah diberikan jawatan selaku Yang Di-Pertua Negeri Melaka ke 7. Tun Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam dilantik pada 5 Jun 2020 selepas diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong. Beliau merupakan mantan Ketua Menteri Melaka yang kesembilan dari 2 Disember 1999 hingga 6 Mei 2013.

Beliau yang merupakan anak jati Melaka ini dilahirkan pada 24 Ogos 1949 di Kampung Bukit Katil, Melaka. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Katil dan Sekolah Kebangsaan Semabok, beliau seterusnya menduduki peringkat menengah di sekolah yang cukup gah di Melaka iaitu Sekolah Tinggi Melaka (Melaka High School).

Pembabitan awal beliau dalam bidang perkhidmatan awam bermula sebagai Pegawai Kerani di Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika itu Lembaga Letrik dan Grid Nasional dari tahun 1969 hingga 1979.

Seterusnya beliau menjadi Penolong Pengarah KEMAS negeri Kedah pada tahun 1979-1980 serta menjadi Pengarah KEMAS Melaka bermula dari tahun 1982 hingga 1983.

Meskipun berjawatan tinggi, beliau berjaya memperolehi Ijazah Kepujian Sarjana Muda Kemasyarakatan (Ekonomi Pembangunan) dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1984.

Beliau memulakan karier sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri pada tahun 1986 apabila bertanding kerusi DUN Ayer Molek dan dilantik selaku sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka.

Pada tahun 1999 beliau telah dilantik mengemudi negeri Melaka selepas memegang jawatan selaku Ketua Menteri Melaka. Ketika tempoh pentadbiran banyak misi yang berjaya dicapai seperti kejayaan negeri Melaka mendapat taraf Negeri Maju pada tahun 2010.

Kaedah pentadbirannya yang tegas menyebabkan perkembangan negeri Melaka menjadi lebih maju. Banyak pembangunan yang pesat membangun hasil idea dan visi beliau. Program Pembangunan Sungai dan Pantai adalah antara pencapaian hebat yang menyebabkan Melaka menjadi terkenal di seluruh dunia.

Jika sebelum itu, sungai Melaka dipandang kotor dan jijik tapi hasil inisiatif beliau ketika itu menukar menjadikan ianya sebagai pusat pelancongan yang terkenal di seluruh dunia.

Pusat Pentadbiran Melaka yang sebelum ini berada di tengah bandar juga di pindah ke Ayer Keroh yang menaik taraf kawasan tersebut.

Penstrukturan semula dengan penambahan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang baharu iaitu Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menjadikan pengurusan PBT lebih teratur dan efisien.

Pelaksanaan Stadium Hang Jebat juga menjadi bukti betapa Datuk Ali tidak meminggirkan sukan dalam aspek pembangunan. Ini menjadikan kawasan Krubong yang dahulunya dipenuhi dengan longgokan sampah kepada sebuah pusat perumahan yang cukup membangun.

Pengiktirafan sumbangan Tun Mohd Ali bin Mohd Rustam adalah bersesuaian dengan sumbangan beliau bagi memajukan negeri Melaka. Sudah pasti idea-idea beliau masih ditagih oleh pemimpin baharu bagi memastikan Melaka menjadi maju ke hadapan dalam era yang semakin mencabar.

Berikut merupakan senarai Yang di-Pertaua Negeri Melaka

1) Leong Yew Koh ( 31 Ogos 1957 – 30 Ogos 1959)
2) Abdul Malek Yusuf (31 Ogos 1959 – 30 Ogos 1971)
3) Abdul Aziz Abdul Majid (31 Ogos 1971 -9 Mei 1975)
4) Syed Zahiruddin Syed Hassan (23 Mei 1975 -30 November 1984)
5) Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabuddin (4 DIsember 1984-3 Jun 2004)
6) Mohd Khalil Yaakob (4 Jun 2004- 4 Jun 2020)
7) Mohd Ali Rustam (5 Jun 2020 – kini )

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to Top