Laman Belia Sungai Rambai, Tarikan Pelancongan Baharu Melaka

Bagi orang luar Melaka, Sungai Rambai mungkin agak asing bagi mereka. Ini kerana kawasan ini kurang mendapat tempat dalam kawasan pelancongan di negeri Melaka.

Namun baru-baru ini kawasan Sungai Rambai menjadi tular di media sosial hingga menyebabkan kawasan rekreasi Laman Belia ini terus dikunjungi orang ramai. Kenapa sebuah pekan kecil ini menjadi popular? Kalau ikutkan Laman Belia ni sunyi sedikit masa dahulu namun lepas PKP ia menjadi tumpuan pengunjung.

Laman Belia Sungai Rambai

Ia kerana keindahan sungai di kawasan tersebut yang jernih sehingga mendapat tempat di kalangan orang ramai. Melakacool mungkin agak terlewat menulis mengenai berita ini tetapi kali ini kunjungan kami ke sana memang tidak sia-sia.

Kawasan Laman Belia ini sedikit sukar untuk dikunjungi. Meskipun terletak berhampiran lebuhraya AMJ namun tiada laluan masuk untuk ke sana melalui lebuhraya itu. Anda perlu melalui jalan di Pekan Sungai Rambai untuk meneruskan ke destinasi tersebut.

Kawasan tempat kenderaan agak luas untuk pengunjung datang. Mungkin kenderaan besar seperti bas agak sukar untuk meletak kenderaan. Dari segi sungainya memang ketika kami ke sana, airnya cukup jernih seperti keindahan pantai-pantai. Di kawasan tepi boleh nampak dasar sungainya.

Airnya juga jernih dan boleh lihat keindahannya. Ada satu jambatan gantung yang disediakan untuk pengunjung melintasi bagi merasa suasana keindahan sungai. Cumanya jambatan gantung itu bukanlah melintasi seberang sungai cuma di bahagian tepi sahaja. Tapi boleh rasa ngeri meskipun bukan di tengah sungai.

jambatan gantung kawasan rekreasi Laman Belia sungai rambai

Kawasan ini memang cukup sesuai untuk dibuat sesi fotographi. Bagi mereka yang baharu melangsungkan majlis perkahwinan dan ingin mengambil gambar foto perkahwinan bolehlah mencuba pemandangan indah di sini. Keindahan airnya cukup mendamaikan. Walaupun sungainya jernih dan airnya sejuk namun jangan cuba-cuba berenang pula. Ini kerana terdapat papan tanda amaran bahawa kawasan ini berpenghuni. Berpenghuni dengan sang buaya yang boleh muncul tiba-tiba. Jadi jangan pula berani mandi pula. Sungai ini yang dinamakan Sungai Kesang ini akan menuju ke kawasan Muar untuk terus ke pantai.

Pada pandangan kami, kawasan ini memang berpotensi untuk dijadikan kawasan pelancongan sungai yang bagus. Walaubagaimanapun pengawalan oleh pihak berkuasa perlu dilakukan kerana melalui tinjauan kami terdapat sampah-sampah yang menuju ke sungai.

Di kawasan ini terdapat beberapa peniaga gerai kecil beroperasi jadi kebersihan mungkin akan menjadi isu. Sekiranya pihak Majlis Perbandaran Jasin ingin membangunkan kawasan Laman Belia ini, perlu juga dilihat tentang kesan ekosistem sungai itu sendiri.

Kajian menyeluruh bersama agensi berkaitan perlu diadakan bagi memastikan tarikan pelancongan ini mampu menjana pendapatan rakyat Melaka tetapi tetap juga menjaga alam sekitar.

Kami juga merasakan fenomena ini mungkin tidak berpanjangan. Kemungkinan ada sebab menjadikan sungai tersebut sebegitu. Pihak berkaitan perlu melihat perkara tersebut supaya ia mampu dikekalkan dan menjadi tarikan yang benar-benar mampu bertahan untuk jangka masa panjang.

Kredit Gambar : FB Kerajaan Negeri Melaka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to Top