Melaka memang merupakan syurga makanan. Dari pelbagai juadah untuk sarapan, makan tengahari hingga ke makan malam. Ada sahaja makanan yang menjadi rebutan bukan sahaja orang Melaka malahan menjadi viral hingga ke seluruh pelusuk dunia.
Seperti di tempat-tempat lain, hidangan sarapan seperti roti canai memang menjadi tumpuan ramai dari para pelancong dan juga para pekerja. Melaka mempunyai banyak tarikan sarapan pagi dan antara yang mula menjadi viral kini adalah Gerai Roti Selimut Pak Ali.
Gerai berbentuk medan selera ini terletak di RnR gerbang Ayer Keroh yang menuju ke Plaza Tol Ayer Keroh.
Kalau tengok dari segi pemandangannya, ia sama sahaja seperti gerai-gerai makan lain tapi ianya mempunyai beberapa menu yang cukup menarik iaitu Roti Selimut dan Roti Welding.

Mendengar namanya sahaja sudah membuatkan kita tertarik untuk mencubanya kan? Lagilah kalau anda melihat bentuknya, pasti akan terliur dengan kandungan yang terdapat dalam roti tersebut.
Roti Welding yang dihasilkan oleh Encik Ali bin Abdul Hamid ini dihasilkan daripada roti kosong, sardin telur manakala Roti Selimut mempunyai tambahan cheese yang pasti membuatkan anda teringat-ingat selepas mencubanya.
Harga bagi roti selimut adalah RM5.00 manakala roti welding adalah RM4.00. Harganya memang cukup berbaloi apabila anda mengunyahnya ke dalam mulut anda. Silap-silap anda nak tambah untuk dibawa balik ke rumah disebabkan keenakan roti tersebut.


Gerai ini sering penuh dan anda dinasihatkan untuk datang awal bagi mengelakkan roti habis di pasaran. Gerai ini dimiliki oleh penebar roti itu dan kalau anda datang pada waktu kurang sibuk mungkin boleh berborak sikit dengan Pak Ali. Pelayan-pelayan di gerai ini kebanyakan terdiri dari para remaja yang akan segera melayan para pelanggan yang datang.
Tempat letak kereta di sini agak luas dan di kawasan berdekatan terdapat tandas serta gerai buah-buahan untuk anda singgah sekiranya perlu. Bagi yang kaki jogging tu, ia terletak bersebelahan Taman Botanikal Ayer Keroh. Lepas jogging boleh lah anda menikmati juadah yang memang menjadi lokasi wajib bagi para joggers yang beriadah di sana.
Kalau anda nak pulang ke destinasi selepas melancong ke Melaka bolehlah singgah sini untuk menikmati Roti yang cukup unik ni. Kalau tak minat makan roti boleh juga layan lontong disini. Juga terbaik untuk dinikmati.
Lokasi Roti Selimut Pak Ali
Gerai Makan Noor Ali Enterprise
Ayer Keroh
75400 Melaka, Malaysia.
+60136085962