5 Lokasi Makan Tengahari Yang Best di Kawasan MITC Ayer Keroh

Kawasan sekitar Melaka International Trade Centre merupakan antara lokasi yang sibuk di Melaka. Banyak tempat makan di sini, kalau anda tak tahu nak ke mana, kami kongsikan 5 lokasi makan tengahari yang best di kawasan MITC Ayer Keroh.

Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di MITC. Selain dari itu ia juga merupakan lokasi pusat bagi kebanyakan agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Wisma Negeri yang terletaknya berhampiran dengan bulatan MITC menempatkan agensi kerajaan negeri termasuk pejabat tanah dan daerah Melaka Tengah. Ia merupakan lokasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk melakukan urusan berkenaan tanah dan sebagainya.

Wisma Persekutuan dan Menara Persekutuan pula banyak menempatkan agensi-agensi persekutuan.

Dengan kewujudan pusat membeli belah seperti Mydin merancakkan lagi perkembangan ekonomi di kawasan yang boleh dikatakan pusat terpenting di negeri Melaka.

Projek-projek perumahan juga semakin bertambah dengan kewujudan kampus luar Universiti Teknikal Melaka serta kilang-kilang serta Perusahaan Kecil Sederhana di kawasan berhampiran.

Walaupun kawasan ini mungkin tidak sebesar kawasan di Melaka Raya namun ianya sering menjadi tumpuan ramai terutama apabila ada aktiviti di MITC itu sendiri.

Aktiviti-aktiviti ini menyebabkan bertumbuhnya restoran-restoran dan kedai-kedai makan di kawasan ini. MelakaCool ingin berkongsi 5 lokasi makan tengahari yang best di kawasan MITC Ayer Keroh ini untuk panduan anda semua.

5 Lokasi Makan Tengahari Yang Best di Kawasan MITC Ayer Keroh

1. Rumah Makan Cibiuk MITC Melaka

Restoran Cibiuk Melaka – Makanan Khas Sunda

Nak makan masakan Jawa dari Indonesia? Anda boleh mencuba kepelbagaiannya Rumah Makan Cibiuk MITC.

Apa itu Makanan Khas Sunda? Kalau anda perasan, itulah yang ditulis di papan tanda kedai sebelum anda masuk.

Salah satu daerah di Indonesia yang terkenal akan kepelbagaian makanannya adalah Jawa Barat. Daerah yang dikenal dengan Tanah Sunda ini memiliki banyak makanan unik dan sekarang anda boleh menikmatinya di Melaka tanpa perlu ke sana.

Menu yang paling laris adalah nasi liwet ayam bakar.

nasi liwet ayam bakar

Kebanyakkan menunya menggunakan nama asal dari sana, pastikan anda bertanya dulu sebelum menempah untuk mengelakkan salah faham.

Antaranya ialah lotek. Lotek dibuat dengan menggunakan sayur-sayuran yang sudah direbus kemudian di gaul bersama kuah istimewa yang kelihatan seperti kuah kacang. Ianya sedap dimakan bersama nasi panas ataupun dimakan begitu sahaja seperti salad.

Nasi timbel, ayam bakaka dan bermacam lagi.

Sebenarnya, rumah Makan Cibiuk ni merupakan antara restoran makan kegemaran salah seorang dari tim kami kalau dia singgah ke MITC. Yang paling best ialah sambalnya. Pasti terangkat bila menikmati juadah tengahari. Jangan lupa pesan ais kosong lebih!

Makanannya sungguh sedap kalau anda sukakan makanan Jawa Barat. Pilihan yang bagus untuk mereka yang menggemari makanan pedas. Tetapi harganya bukan biasa-biasa. Seorang makan lebih kurang RM 30.

Kalau nak pergi, pastikan anda benar-benar lapar dan sukakan makanan pedas. Memang berbaloi.

Berikut adalah contoh menu Set Bandung yang berharga RM 119.80. Ia sesuai untuk 3 atau 4 orang makan. Ada nasi liwet, ayam bakaka bakar, pakedel jagung, kangkung belacan, udang crsipy, sup ekor dan 1 jug kasturi jeruk.

Gambar tidak termasuk sup sebab tak sabar nak makan tetapi sup tak sampai lagi.

Cibiuk MITC antara 5 Lokasi Makan Tengahari Yang Best di Kawasan MITC Ayer Keroh

Rumah Makan Cibiuk MITC
8 & 10, Lingkaran Mitc
Kompleks Perniagaan Mitc Perdana
75450 Ayer Keroh
Lokasi Google Map

2. Restoran Dima

Restoran Arab Dima

Kalau anda penggemar makanan Arab, restoran Dima di MITC memang patut anda pergi bila ke sini. Cawangan Restoran Dima di MITC ini terletak di tingkat bawah Melaka International Bowling Centre.

Pelbagai pilihan makanan Arab dan juga western disediakan disini. Restoran yang dibuka seawal 11 pagi ini menyediakan makanan tengahari seperti Mandi Chicken dan Lamb, Madghot Lamb, Kabsa Lamb serta pelbagai makanan Arab yang lain.

Kalau anda sukakan masakan Arab asli, datanglah ke sini. Harga mungkin sedikit tinggi berbanding makanan biasa tetapi berbaloi dengan kuantitinya dan rasanya. Tak pernah tak kenyang kalau makan di restoran Arab.

Restoran Dima
Jalan MITC
Melaka International Trade Centre
75350 Melaka

Waktu Operasi :-
Isnin- Ahad (11 pagi -11 malam)
Tel : 06-2311558/010 2779 422

3. Medan Selera Nasi Ayam Suria

Medan Selera Nasi Ayam Suria

Peminat nasi ayam ? Anda perlu mencuba nasi Ayam Suria di medan selera berhadapan Masjid Al Alami MITC.

Nasi ayam di sini bukan biasa-biasa, Ia ada keunikan tersendiri yang mungkin anda tidak pernah rasai di tempat lain.

Susah nak diceritakan tapi pada waktu rehat 1.00- 2.00 petang memang ramai orang yang akan singgah menjamu selera di sini.

Kedai Makan Nasi Ayam Suria
Medan Selera PKNM
Melaka International Trade Centre
75350 Melaka

Waktu Operasi :-
Isnin- Sabtu (10 pagi -5 petang)

4. Restoran Subaidah

Restoran Subaidah MITC

Bagi penggemar makanan mamak atau nasi kandar, anda boleh singgah ke Restoran Subaidah. Restoran yang terletak berhadapan kompleks MITC ini menyediakan makanan nasi campur untuk makanan tengahari ataupun makanan goreng.

Anda boleh memilih banyak lauk pauk yang sesuai dengan citarasa anda bagi menghilangkan lapar di tengahari. Bagi yang ada tugasan di MITC, Restoran Subaidah menjadi pilihan kerana dekat dan servisnya pun cepat.

Ayam goreng panas!

Menariknya juga kaedah order agak berteknologi dimana pelayan hanya mencatatkan order di device tanpa perlu ke dapur. Pengiraan bayaran juga automatik dengan membawa kad yang diletakkan di meja anda ke juruwang.

Restoran Subaidah
Jalan Konvensyen
75450 Ayer Keroh
Melaka

5. Restoran Ikan Bakar Malim

Ikan Bakar Malim MITC


Anda nak makan ikan bakar di waktu tengahari dengan lauk pauk yang sedap? Cuba makan di Restoran Ikan Bakar Malim cawangan MITC.

Memang cukup banyak pilihan hidangan lauk pauk. Ikan bakar juga memang banyak pilihan dengan sos yang sedap untuk dicicah.

makan tengahari ikan bakar

Restoran IKan Bakar Malim
Jalan TU 42 A
Taman Tasik Utama
75450 Ayer Keroh

5 lokasi makan tengahari yang best di kawasan MITC Ayer Keroh ini tidak semestinya yang terbaik di sini. Kami cuba mempelbagaikan senarai kami agar dapat menarik penggemar makanan yang datang ke sini untuk mencuba apa yang ada. Masih banyak lagi pilihan di sekitar kawasan MITC ini sebenarnya.

Jika anda pemilik kedai makan atau anda memang suka makan dan merasakan ada kedai makan atau restoran yang patut disenaraikan di sini, letakkan komen anda di bawah, ya!

3 thoughts on “5 Lokasi Makan Tengahari Yang Best di Kawasan MITC Ayer Keroh”

  1. Saya suka nasi liwet ayam bakar cibiuk tu, kalau ada sesiapa yang nak cuba masak sendiri ini resipinya

    Nasi Liwet Ayam Bakar

    Bahan-bahan nasi:

    500gm beras wangi
    3 ulas bawang merah dikisar halus
    3 ulas bawang putih dikisar halus
    2cm halia dikisar halus
    2 sudu makan marjerin
    1 sudu makan minyak
    1 cawan santan
    4 helai daun salam
    4 helai daun limau purut
    1 batang serai dititik
    Air secukupnya dan secubit garam – ikut keperluan

    Bahan-bahan ayam panggang:

    1 ekor ayam kampung di belah empat
    200ml air

    Bahan-bahan kisar untuk ayam panggang:

    2 helai daun salam
    3cm lengkuas
    4 ulas bawang putih
    6 ulas bawang merah
    Garam dan gula secukup rasa

    Baham sampingan:

    Sambal goreng bawang
    Hirisan ikan masin
    Hirisan jering goreng
    Hirisan tempe goreng
    Hirisan tauhu goreng
    Ulam-ulaman

    Cara nak masak:

    Nasi

    Panaskan marajerin bersama minyak, tumiskan bahan kisar bersama serai, halia, daun salam dan daun limau purut hingga wangi. Masukkan beras wangi diikuti air dan santan. Kemudian perasakan dengan garam secukup rasa. Tutup periuk dan masak seperti biasa dalam periuk elektrik.

    Setelah nasi masak, letakkannya di atas daun pisang dan letakkan ditengahnya dengan sambal bawang dan daun kemangi. Nasi liwet biasanya akan dihidangkan dalam gulungan daun pisang. Gulungkan dan kemas di kedua-dua hujung gulungan.

    Ayam Panggang

    Gaulkan ayam bersama bahan kisar berserta air, garam dan gula secukupnya. Masak hingga airnya kering. Kemudian sediakan pemanggang atau panaskan ketuhar dengan suhu 180C. Panggang selama 15 minit.

    Hidangkan nasi liwet bersama ayam bakar, tempe goreng, tauhu goreng dan bahan sampingan yang lain tadi.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.