Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka

Kita pasti tertarik dengan rama-rama yang mengibarkan sayap dengan lembut. Di Melaka, anda boleh melawat Taman Rama-Rama dan Reptilia yang terletak di Ayer Keroh, Melaka.

Lokasinya dekat sahaja dengan laluan masuk tol Ayer Keroh. Selepas sahaja masuk ke tol tersebut anda akan nampak simpang ke kiri untuk ke kawasan tersebut. Taman Rama-Rama dan Reptilia mula beroperasi dari 1 Februari 1991 yang mula dikenali sebagai Taman Rama-Rama Melaka ketika itu.

Selepas lebih dari 22 tahun beroperasi, taman ini menjadi semakin berkembang dengan penambahan reptilia serta beberapa habitat lain yang sukar untuk ditemui di luar.

Taman berkeluasan 11 ekar ini mempunyai beberapa tempat yang dibahagikan mengikut zon. Zon utama pastilah lokasi penempatan rama-rama. Disini akan melalui laluan yang dipenuhi oleh pelbagai spesis rama-rama.

Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka

Ribuan rama-rama ini akan terbang mengelilingi laluan tersebut dan anda boleh melihat kawanan rama-rama singgah ke kawasan tumbuhan yang segar di situ.

taman rama-rama melaka

Ada pelbagai haiwan dan serangga di Taman Rama-Rama selain rama-Rama

Sebelum memasuki kawasan rama-rama, anda akan melalui kawasan penempatan kura-kura. Ada pelbagai spesis kura-kura yang tinggal disitu. Anda juga boleh memberikan makan kepada kura-kura tersebut.

Terdapat juga beberapa jenis cicak seperti iguana yang berwarna-warni. Terdapat juga maklumat yang dipamerkan untuk anda mengetahui tentang habitat haiwan tersebut.

reptilia iguana
Iguana yang cukup cantik

Ruang informasi juga memberikan anda pengetahuan mengenai kehidupan haiwan-haiwan tersebut. Selepas memasuki ruang taman rama-rama anda akan melalui kawasan serangga.

Kala jengking adalah antara serangga berbahaya yang dipamerkan. Tapi jangan risau sebab ianya dimasukkan dalam kawasan tertutup yang boleh mengelakkan risiko disengat.

Ulat gonggok yang besar juga dipamerkan di sini. Mentadak iaitu spesis serangga yang menyerupai ranting kayu juga dipamerkan disini. Bagi generasi muda, mungkin tidak pernah melihat serangga ini.

Selepas itu ada laluan kolam yang menempatkan ikan koi. Ikan hiasan ini cukup jinak dan anda boleh memberikan makan. Memang menarik serta jinak sekali ikan-ikan tersebut.

Burung unta yang setinggi 2 meter juga terdapat disitu. Anda boleh melihat betapa tinggi dan gagahnya haiwan tersebut yang berada di dalam sangkar.

Berhampiran lokasi tersebut, terdapat beberapa jenis buaya ditempatkan. Memang banyak juga kawasan yang dinamakan Kampung Buaya itu. Bukan sahaja buaya tempatan, terdapat juga buaya luar negara yang berada di taman ini. Memang menarik bila melihat buaya tersebut membuka mulut dan menunjukkan rahang dan gigi yang cukup kuat.

Kalau betul-betul minat dengan buaya, patut pergi juga ke Taman Buaya Melaka.

Selepas itu anda akan melihat beberapa jenis ikan yang jarang ditemui iaitu ikan Pacu. Ikan yang sama spesis dengan ikan piranha ini besar dan pasti menarik minat anda.

Meneruskan perjalanan anda akan melalui laluan reptilia yang sering ditakuti iaitu ular. Pelbagai spesis ular berbisa dimasukkan dalam kotak kaca untuk tatapan pengunjung.

Sekira bernasib baik anda boleh melihat ular tersebut mengembangkan kepalanya. Antara ular yang dipamerkan seperti Anakonda, King Cobra, Ular Sawa dan banyak lagi.

Selain itu, terdapat juga beberapa jenis burung yang akan membuat bunyi menghiburkan dalam laluan anda.

Selepas itu anda akan masuk ke gua buatan yang menempatkan serangga seperti kumbang dan sebagainya. Banyak maklumat dipaparkan di kawasan tersebut.

kumbang badak di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka
Kumbang badak, spesis kumbang yang sukar ditemui di Malaysia

Sebelum keluar, terdapat kedai cenderahati yang boleh anda singgah untuk membeli barang untuk kenang-kenangan. Sememangnya pengalaman di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka merupakan sesuatu yang menarik.

Anda mesti singgah ke sini jika datang ke Melaka.

taman rama-rama dan reptilia

Alamat :-
Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka
Lebuh Ayer Keroh Melaka
Tel : 06-2320033
Faks : 06-2329977
Waktu Operasi : Setiap Hari (8.30pagi – 5.30 petang)

Bayaran masuk (setakat Disember 2019) adalah RM22 untuk orang dewasa manakala RM16 untuk kanak-kanak.

Pautan-pautan berkaitan: Laman Web Rasmi, Facebook Rasmi, Instagram Rasmi

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.