Anda pernah ke Melaka tapi tak singgah ke Taman Buaya Melaka? Memang tak lengkaplah percutian anda kalau tak singgah ke Taman Buaya dan Rekreasi Melaka ni.
Taman Buaya ini telah lama dibuka iaitu semenjak tahun 1987 lagi. Mungkin ada antara anda belum lahir ketika itu.
Taman Buaya Melaka ini berkeluasan hampir 3 ekar serta mempunyai kira-kira 9 kolam buaya. Selain tarikan utamanya iaitu buaya, terdapat juga haiwan lain yang ditempatkan seperti arnab, burung unta (ostrich), ular, kura-kura, rusa dan pelbagai spesies haiwan yang mencuit hati pengunjung.

Juga terdapat kawasan tanaman yang ditanam dengan Tanaman Herba untuk pengetahuan para pengunjung yang datang ke lokasi berinformasi ini. Tanaman ini juga di tag dan diberikan sedikit informasi mengenai kegunaan tanaman tersebut.
Terdapat juga mini water park dimana kanak-kanak boleh bermain air selepas penat berjalan melihat kawasan taman buaya dimana tiada caj tambahan dikenakan .
Bagi yang rasa diri tu berani, boleh juga mencuba masuk ke Kawasan Rumah Hantu yang terletak dalam lokasi Taman Buaya ini.
Untuk ke lokasi Taman Buaya ini tidak sukar. Ianya kira-kira 3 kilometer dari Tol Ayer Keroh Melaka. Ianya terletak di tepi jalan besar di Lebuhraya Ayer Keroh. Sekiranya anda baru masuk ke Lebuhraya , anda mungkin perlu melakukan U-Turn di Simpang Empat MITC untuk terus ke Taman Buaya ini.
Kawasan Parking Taman Buaya ini agak terhad tapi terdapat kawasan ‘Reserve’ Parking percuma kira-kira 50 meter dari lokasi. Jadi tempat letak kereta bukan masalah besar untuk para pengunjung. Taman Buaya Melaka ini dibuka setiap hari bermula jam 9.00 pagi hingga 7.00 petang.
Bayaran masuk bagi hari biasa RM15.00 (dewasa), RM10.00 (kanak-kanak 5 -12 tahun), RM8.00 (warga emas 66 tahun ke atas). Bagi hari Sabtu, Ahad dan cuti umum pula RM18.00 (dewasa), RM13.00 (kanak-kanak), RM10.00 (warga emas 66 tahun ke atas).
Memasuki Taman Buaya tersebut selepas membayar tiket anda akan dibekalkan dengan gelang tiket. Ia sebagai bukti anda merupakan pengunjung sah Taman Buaya ini. Selepas sahaja melepasi ruang tersebut anda akan diminta untuk mengambil gambar oleh kakitangan Taman Buaya. Mereka akan mengambil gambar dan pada waktu nak keluar anda boleh membuat pilihan samada nak beli atau biarkan sahaja. Bergantung kepada bajet anda.

Mula-mula sekali anda akan ternampak monumen-monumen 1Malaysia serta replika monumen-monumen kebanggaan negara. Antaranya seperti tugu negara, A-Famosa, Bangunan Stadhyust,Bangunan Putrajaya, Jambatan Pulaun Pinang dan KLCC. Disini anda boleh beraksi samada bergambar secara swafoto mahupun mengambil gambar replika monumen itu secara kenang=kenangan.
Lokasi secara bulatan dimana anda boleh pilih samada arah kiri atau ke kanan. Anda akan dapat melihat kurungan-kurungan haiwan dan pastinya buaya merupakan lokasi favorite yang mesti menjadi tumpuan.
Sekiranya anda datang pada hari cuti/cuti umum anda berpeluang untuk melihat persembahan yang dijadualkan oleh pihak Taman Buaya Melaka. Antaranya ialah pertunjukan ular dimana para petugas memberikan sedikit maklumat mengenai ular-ular yang selalu terdapat di kawasan tumpuan. Penerangan tersebut dinyatakan dengan jelas serta ditunjukkan secara praktikal kira-kira pada jam 11.00 pagi.

Selepas itu pengunjung akan dibawa ke pentas berbeza dimana anda akan melihat pertunjukan buaya. Anda akan melihat keberanian para petugas yang bermain dengan buaya yang besar dan boleh membunuh sekiranya tersilap langkah.

Selepas pertunjukan buaya pula, pengunjung akan diberikan peluang melihat bagaimana petugas mengagihkan makanan kepada buaya tersebut. Anda juga akan diberikan penerangan tentang buaya-buaya yang dominan di kolam-kolam terbabit.

Antara Fasiliti yang terdapat di Taman Buaya Melaka adalah :-
– Dewan Serbaguna TBRM
– Pentas Kebudayaan
– Gazebo
– Kawasan Rehat Berbumbung di Kolam mandi
– Bilik air
– Surau
– Pa System
– Tempat Letak kereta
– Kedai Cenderahati & makanan ringan
Untuk keterangan lanjut, Hubungi mereka di:
Telefon:
06-232 2350 /06-231 9136
Faksimili:
06-232 2349
Emel:
tbrmelaka@gmail.com
Alamat:
Taman Buaya & Rekreasi Melaka, Pusat Pelancongan Ayer Keroh, 75450 Ayer Keroh, Melaka.
Waktu Operasi:
9.00 pagi hingga 7.00 petang. (Setiap Hari)