Satu sejarah baharu bakal tercipta untuk warga Melaka apabila satu terminal kapal persiaran akan dibina, projek yang dijangka siap pada tahun 2022 di Kota Laksamana ini terletak berhampiran tarikan baharu Melaka iaitu Melaka Impression City atau lebih dikenali sebagai Encore Melaka.
Menurut Ketua Menteri Melaka, Adly Zahary projek pembinaan terminal pertama ini sudah diluluskan dan ia dijangka akan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan. Terminal ini dijangka mampu menarik lebih banyak kapal pesiaran untuk berlabuh di Melaka sekaligus meningkatkan industry pelancongan terutama di kawasan sekitar. Ketika ini, kira-kira 60 kapal pesiaran berlabuh di jeti dan pelabuhan sedia ada dan dengan pembinaan ini pasti banyak lagi kapal pesiaran akan berlabuh di sini.
Dengan lokasinya yang cukup strategic pasti akan memberikan impak besar terutama pada sektor pelancongan sedia ada. Projek-projek hartanah seperti Atlantis Residence , Bali Residence serta beberapa lain projek lagi akan mendapat permintaan yang lebih baik lagi pada dua tahun akan datang. Sektor membeli belah yang berhampiran seperti di Dataran Pahlawan, Mahkota Parade pasti akan lebih rancak dengan kehadiran para pelancong yang pasti ingin membeli belah di negeri Melaka.
Selain itu peluang pekerjaan pasti akan bertambah apatah lagi kini kawasan Kota Laksamana itu boleh dikatakan kawasan lubuk emas terbaharu di Melaka. Dengan potensi terbaharu itu, kawasan-kawasan berhampiran juga menjadi tumpuan pelancong terutama yang menggunakan kapal pesiaran tersebut. Adly juga memaklumkan bahawa kerjasama dengan beberapa operator cruise telah diadakan oleh kerajaan negeri Melaka untuk mempertimbangkan operasi di Melaka.
Ini bagi menambah potensi pelancongan cruise di negeri Melaka yang kurang diberikan penekanan sebelum ini kerana ketiadaan terminal khas di kawasan ini. Ia juga menambahbaik perkhidmatan sebelum ini dimana sebelum ini, pelancong perlu menaiki bot-bot untuk menaiki kapal cruise yang beroperasi di negeri Melaka. Dengan kewujudan terminal juga membolehkan kapal cruise ini mudah dilihat oleh para pelancong yang pasti ingin melihat sendiri keadaan kapal tersebut sebelum menempahnya.
Walaubagaimanapun, Melakacool berharap dengan pembiaan terminal kapal pesiaran ini, kerajaan negeri Melaka perlu mengambil inisiatif untuk menambahbaik infrastruktur jalanraya serta memperkukuhkan pengangkutan awam di kawasan berhampiran.
Situasi sekarang agak menyukarkan pelancong kerana jalan-jalan di kawasan sekitar akan menjadi sibuk terutama pada musim cuti.
Ia amat penting supaya pelancong samada dari luar mahupun tempatan dapat merasai pengalaman yang menyeronokkan tanpa perlu menghadap kesesakan teruk yang sering menjadi rungutan pelancong-pelancong tersebut. Bukan sahaja pada pelancong, ia juga memberi impak kepada penduduk di sekitar yang sukar untuk melaksanakan aktiviti di hujung minggu. Dengan penambahbaikan infrastruktur dan pengangkutan awam ia juga boleh memberikan keselesaan kepada penduduk terutama di kawasan Kota Laksamana, Klebang, Tengkera, Banda Hilir dan kawasan sekitarnya.
Selain itu, kerajaan negeri juga perlu mengambil inisiatif tentang sumber air yang mula menjadi masalah di negeri Melaka. Dengan kehadiran lebih banyak pelancong akan memberikan impak kepada penggunaan air di negeri Melaka. Perkara ini perlu diperhalusi bagi memastikan sektor pelancongan tidak terkesan dengan isu air ini.
Melakacool berharap projek ini dapat dijayakan dengan baik bagi memastikan Melaka sentiasa mendapat tempat di hati para pengunjung serta tidak mengabaikan rakyat tempatan Melaka. Semoga limpahan ekonomi ini juga akan mendapat tempiasnya kepada penduduk tempatan.
Sumber: MelakaKini.my