PERZIM & MBMB anjur Gerai Makanan Tradisional

Makanan tradisional pasti menjadi hidangan yang cukup menarik hati. Apatah lagi sekarang ni masakan tradisional semakin sukar untuk ditemui apabila terdapat banyak perubahan yang dilakukan.
Pada 7 – 9 Julai 2017 yang lalu, Perbadanan Muzium Melaka(PERZIM) bersama dengan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah mengadakan satu Program Gerai Makanan Tradisional Masyarakat Melaka.
Ianya bersesuaian dalam bulan Syawal dimana ramai pengunjung pasti ingin merasaik keenakan makanan warisan terutama dari Melaka itu. Program Gerai Makanan Tradisional Masyarakat Melaka itu telah diadakan di Perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dengan menghidangkan lebih 25 jenis juadah warisan pelbagai kaum di Melaka.

Program yang julung kali diadakan itu diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun ke 9 Melaka Bandaraya Warisan Dunia. Program yang bermula dari jam 10 pagi hingga 5 petang selama tiga hari itu bermatlamat untuk mempopularkan kembali resipi warisan tempatan yang diperkenalkan oleh nenek moyang kita.
Ia sekaligus dapat menggalakkan generasi muda supaya mengambil tahu tentang warisan agar ianya tidak dilupakan dan terus hilang dari meja makan kita.
Terdapat banyak masakan dari kaum Melayu seperti gerang asam ikan, masak pindang ikan selar, kuih koci, buah melaka, lauk pindang iris, sambal timun belacan kuih kanda kasturi. Selain itu hidangan pong teh, kari ayam kapitan, kuih kosui, kuih Belanda dari kaum Nyonya juga diperkenalkan.

gerai makanan tradisional masyarakat melaka
Rakyat Melaka berbilang kaum bersama-sama menyediakan makanan untuk para pengunjung

Masakan kaum Portugis seperti kari debal, semur daging, goreng sagu juga menjadi tarikan pengunjung. Makanan tradisional kaum India seperti thosai, chatni, laddu,idadli, masal vadai menjadi resipi kaum India yang menjadi pilihan ramai. Kaum Cina dengan nasi ayam Hainan, tauhu gulung serta ayam kung po merupakan hidangan tradisional kaum Cina yang menjadi kunjungan ramai.
Selain dari memperkenalkan masakan kaum-kaum di Melaka, program ini juga menjadi medan penyatuan antara masyarakat berbilang kaum serta menampilkan keunikan budaya masing-masing.

program makanan tradisional melaka
Pelancong dari Luar Negara juga hadir bagi merasai keenakan makanan tradisional di Melaka

Penganjuran ini dapat mempertahankan warisan di Melaka dari segi masakan dan makanan yang telah diwarisi sejak berada lamanya serta membentuk jati diri masyakat berbilang kaum di Melaka agar bangga dengan identiti masakan dan makanan warisan tradisional kaum masing-masing.
Ia juga memberikan peluang kepada para pelancong samada dalam negeri atau luar negara mengenali masakan tradisional di Melaka sekaligus menjadikan ianya salah satu produk pelancongan yang ingin dikunjungi kembali pada masa hadapan.

Pastinya program ini perlu dijadikan tahunan oleh PERZIM serta agensi berkaitan bagi menyemarakkan lagi industri pelancongan di negeri Melaka yang terkenal dengan makanan yang enak.

 Program Gerai Makanan Tradisional Masyarakat Melaka
Para peserta terdiri dari pelbagai kaum bergambar bersama Datuk Bandar MBMB dan Pengurus Besar PERZIM

Sumber : Melaka Hari Ini
Sumber Gambar :- Facebook Rasmi Perbadanan Muzium Melaka

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.