Anda baru nak berlatih mendaki? Ataupun anda memang gemarkan aktiviti mendaki bukit? Di Melaka ada beberapa kawasan mendaki atau menjelajah yang baik tetapi untuk artikel kali ini Melakacool ingin memperkenalkan kawasan di Bukit Beruang atau dikenali dengan ‘Bear Hill’. Bagi mereka yang biasa berjogging di Melaka pasti akan mencuba pendakian atau trek di Bukit Beruang.
Walaupun nama Bukit ini berkait dengan binatang ganas iaitu ‘beruang’ tetapi jangan risau binatang itu sudah tidak tinggal di kawasan tersebut. Tiada binatang ganas lain yang tinggal di sana jadi ia sesuai untuk anda berekreasi mengeluarkan peluh.
Ketinggian hanya 116.3 meter nampak mudah tapi jangan mengambil enteng dalam pendakian ke kawasan ini. Tanpa stamina yang mencukupi anda mungkin boleh tersadai di tengah perjalanan. Kawasan Bukit Beruang ini sebelum ini hanya sekadar dikenali oleh penduduk tempatan sahaja tetapi ia mula menjadi ‘tular’ selepas beberapa gambar perkahwinan yang diambil di bukit tersebut.
Untuk sampai ke bukit ini anda perlu menempuhi kawasan taman perumahan iaitu Taman Bunga Raya. Kawasan ini menempatkan sebuah menara telekomunikasi dan ianya sering dijadikan kawasan riadah oleh penduduk serta pelajar dari universiti berhampiran.
Terdapat beberapa institut pengajian tinggi berhampiran seperti Universiti Multimedia, Kolej Komuniti dan juga Universiti Teknikal Melaka. Kebiasaannya ia akan dipenuhi oleh orang ramai pada hari minggu ataupun hari cuti am. Pendakian hingga ke puncak adalah sejauh 5.2 kilometer dimana ia mengambil masa sekitar 1 hingga 2 jam bergantung kepada kecergasan pendaki.
Bagi mereka yang tidak biasa dengan laluan denai ada trek jalan tar yang boleh anda gunakan untuk pendakian santai.
Tapi alang-alang dah ke sini, Melakacool.com mencadangkan anda menggunakan laluan denai. Ia lebih menarik dan mencabar. Pastikan juga anda membawa air minuman sebab tiada sebarang jual beli berlaku di puncak.
Melakacool.com juga telah mencuba mendaki di sini. Terasa kepenatan dalam pendakian tetapi masih banyak jalan yang perlu diteroka. Tetapi hati-hati jika anda tidak biasa dengan laluan denai ini. Terdapat berita orang sesat ketika melakukan pendakian.
Elakkan berseorangan ataupun tanpa pendaki yang biasa melalui laluan ini. Ada terdapat beberapa laluan curam yang boleh mengakibatkan anda terhidrat. Elakkan juga mendaki pada waktu petang kerana tiada lampu di dalam hutan itu. Sukar untuk bantuan sekiranya berlaku kecelakaan disitu.
Menariknya mendaki disini anda tidak perlu risau dengan line telefon kerana ia memang mendapat siaran yang cukup jelas memandangkan terdapat menara telekomunikasi yang besar di situ. Tetapi jangan pula terlupa bawa telefon bimbit ketika mendaki.
Selain itu jangan membuang sampah di kawasan ini kerana ianya tiada penjaganya. Hanya komuniti pendaki yang melakukan penjagaan dari segi kebersihan. Jadi harap anda pun mempunyai sifat baik sebagai pendaki.
Untuk mendaki berikut merupakan lokasi bukit tersebut: Google Maps