Bila memandu di lebuhraya, kita perlu berehat seketika untuk melepaskan penat atau menjamu selera. Pihak syarikat yang menguruskan lebuhraya menyediakan kawasan rehat yang lebih dikenali sebagai RnR (Rehat dan Rawat).
Ia menjadi lokasi yang sibuk terutama ketika perjalanan di lebuhraya menjadi sesak. Di kawasan lebuhraya di Melaka terdapat RnR Ayer Keroh tetapi lokasi persinggahan yang menjadi tumpuan pastinya adalah Restoran Jejantas Ayer Keroh.
Ia juga mempunyai keunikan tersendiri apabila ia merentangi lebuh raya dan membolehkan pengguna menikmati kemudahan ditawarkan pada setiap arah lebuh raya samada dari utara mahupun selatan.
Restoran Jejantas Ayer Keroh merupakan salah satu antara dua restoran jejantas yang terdapat di negeri Malaysia selain Restoran Jejantas SUngai Buloh.
Restoran Jejantas ini telah dibuka secara rasmi pada 11 April 1999 dengan keluasan 3,700 kaki persegi.
Projek ini berada di laluan Lebuhraya Utara Selatan dan telah dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri Melaka ketika itu, Allahyarham, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin.
Apa yang ada di Restoran Jejantas Ayer Keroh ?
Walaupun namanya Restoran, tetapi bukan hanya tempat makanan sahaja terdapat disitu terdapat banyak kemudahan lain disediakan.
Sudah pasti tempat makanan merupakan persinggahan utamanya. Beraneka makanan disediakan di situ bagi memudahkan para pengguna lebuhraya membuat pilihan.
Anda boleh mencuba Restoran Nasi Lemak Panas sekiranya menginginkan makanan tempatan. Terdapat juga medan selera yang menyediakan makanan berlauk yang sesuai dijadikan santapan di tengah hari.
Hidangan nasi lemak yang menyelerakan di Restoran Nasi Lemak Panas
Susunan meja serta kebersihan kawasan medan selera boleh membangkitkan keinginan untuk menikmati juadah selepas penat berada dalam kenderaan.
Antara yang mendapat tempat adalah Restoran Gulai Wangi. Melihatkan variasi makanan yang disediakan membuatkan anda tidak dapat membuat keputusan memilih lauk yang ingin dicurahkan ke dalam pinggan anda.
Bagi mereka yang inginkan makanan segera, Restoran Kentucky Fried Chicken (KFC) , Restoran A&W dan Restoran OB terdapat disini. Menariknya restoran makanan segera ini berada di atas jalan lebuhraya itu. Jadi ketika anda menikmati burger atau minum air Root Beer, anda boleh melihat kenderaan yang melintasi gerbang Restoran Jejantas ini. Sambil mengenyangkan perut dapat juga melihat suasana kenderaan yang meluncur laju menuju destinasi masing-masing. Lebih indah kalau anda melihat suasana di malam hari.
Pemandangan dari dalam A& W. Kredit Gambar Lensa Muar
Jika anda hanya ingin mengalas perut, gerai ‘Dunkin’Donuts‘, ‘Baskin Robbin’ atau ‘Daily Fresh‘ mungkin boleh menjadi pilihan anda. Penggemar donut dan aiskrim mungkin boleh menikmati makanan kegemaran mereka dengan tenang. Bagi yang hanya inginkan makanan ringan terdapat gerai-gerai yang menjual makanan ringan serta buah-buahan untuk dijadikan santapan anda.
Gerai Baskin Robbins di Restoran Jejantas, Ayer Keroh, Melaka
Selain tempat makan, terdapat juga gerai-gerai menjual barangan kraftangan untuk dijadikan sebagai buah tangan kepada keluarga ataupun rakan-rakan. Banyak barangan cenderahati dan barang-barang kraftangan serta mainan untuk dibeli di sini. Tidak perlu anda singgah ke tempat lain untuk mendapatkan cenderahati dari Melaka.
Antara Gerai Kraftangan yang terdapat di Restoran Jejantas Ayer Keroh
Menariknya lagi di Restoran Jejantas ini juga terdapat gedung sukan ternama, Al-Ikhsan. Bagi mereka yang ingin mendapatkan pakaian ataupun peralatan sukan yang berkualiti anda boleh singgah ke outlet yang terdapat di kawasan Restoran Jejantas ini. Kalau anda bernasib baik, mungkin ada potongan harga yang dikemukakan oleh gedung sukan ini.
Gedung peralatan sukan, Al Ikhsan
Kemudahan tandas awam serta surau juga disediakan untuk kemudahan pengunjung. Ianya diselenggara dengan baik dan anda pasti akan berasa selesa singgah di sana. Bagi yang terlupa nak mengisi kad Touch N Go anda, jangan risau kerana di sini terdapat mesin untuk anda mengisi nilai kad anda.
Melakacool mencadangkan untuk anda singgah ke Restoran sekiranya anda melalui kawasan tersebut. Ia pasti menjadi satu pengalaman berhenti rehat yang berbeza berbanding di kawasan Rehat dan Rawat yang lain.
Sumber Rujukan : Laman Web PLUS