Di Melaka terdapat banyak pusat rekreasi air yang menarik. Di daerah Jasin, terdapat satu pusat pelancongan berkaitan air di Chinchin, Jasin, Melaka. Lokasi tersebut dinamakan sebagai Taman Ekstrem Tasik Chinchin. Sebelum ini pusat ini cuba dimajukan dan hanya dapat direalisasikan pada tahun 2016 dengan bantuan oleh Kerajaan Negeri.
Taman Ekstrem Tasik Chinchin ini terletak bersebelahan Kem Lambaian Danau Chinchin iaitu pusat perkhemahan yang sering menjadi lokasi kem motivasi samada organisasi kerajaan, swasta, pusat pengajian tinggi, sekolah-sekolah serta banyak lagi organisasi. Ia juga terletak hanya kira-kira 9 kilometer sahaja dari bandar Jasin dan sekitar 8 kilometer dari bandar Tangkak.
Tarikan utama bagi Taman Ekstrem ini sudah pasti pada keindahan tasik yang terdapat di situ. Selain itu terdapat keindahan paya yang menjadikan pengalaman menarik bagi sesiapa yang berkunjung di situ.
Melalui pembangunan yang menggunakan konsep pelancongan, Taman Ekstrem Tasik Chinchin ini mempunyai aktiviti yang boleh menjadi tarikan para pelancong dalam dan luar negeri. Syarikat pengendali memperkenalkan Mini Taman Air yang berkonsepkan taman air yang asas. Walaupun tidak sebesar taman air lain namun ia sudah memadai untuk ruang yang kecil. Terdapat juga ruang kolam renang yang sesuai untuk digunakan oleh orang dewasa. Ia adalah peluang yang baik terutama bagi penduduk sekitar Jasin yang sukar untuk menemui kolam renang awam di daerah ini. Bayaran RM10 untuk dewasa dan RM5 dikenakan untuk kanak-kanak. Air di dalam kolam itu dijaga dengan rapi oleh pihak pengurusan bagi memastikan keselamatan para pengunjung.
Bagi mereka yang inginkan aktiviti lasak, pastinya melakukan aktiviti flying fox merentasi tasik yang berkeluasan kira-kira 100 meter itu menjadi tumpuan. Aktiviti berkayak juga disediakan di situ bagi memberikan cabaran baru kepada anda. Banyak organisasi yang mengadakan aktiviti Team Building menggunakan aktiviti berkayak bagi melihat kemampuan dalam kerjasama dalam organisasi itu. Selain itu ada juga aktiviti memanah pasti memberikan pengalaman baru bagi anda yang tidak pernah melakukannya. Dengan bantuan tenaga pengajar anda boleh mempelajari teknik memanah yang betul. Tidak mustahil kalau anda boleh menjadi sepakar ‘Robin Hood’ jika kena dengan caranya.
Aktiviti jungle tracking atau berjogging di kawasan belukar boleh dilakukan dengan bantuan tenaga pengajar berkemahiran. Ini kerana terdapat denai di kawasan berhampiran yang boleh digunakan untuk aktiviti tersebut. Jika anda inginkan aktiviti riadah sederhana, anda boleh berjogging di dalam kawasan kerana terdapat laluan larian yang boleh diikuti.
Anda juga boleh membuat perkhemahan di dalam kawasan tersebut dan dapat menikmati keindahan di dalam kawasan tersebut.
Untuk penginapan yang selesa terdapat chalet-chalet yang disediakan oleh pihak pengurusan untuk anda sewa. Ia lengkap dengan ‘aircond’ serta kelengkapan asas penginapan.
Di Taman Tasik Ekstrem Chinchin ini juga terdapat sebuah dewan besar yang boleh digunakan untuk pelbagai majlis. Terdapat banyak majlis terutama majlis perkahwinan diadakan disitu kerana ia telah lengkap dengan segala kemudahan dewan. Terdapat juga lokasi restoran yang boleh anda tempah untuk mengadakan jamuan makan seperti mesyuarat ringkas dan sebagainya. Acara hari keluarga juga boleh diadakan di sini kerana ia lengkap dengan segala peralatan.
Banyak lagi aktiviti yang diadakan di Taman Tasik Ekstrem Chinchin ini. Ia boleh mengamit pengalaman indah bagi anda yang mungkin tidak pernah merasai keindahan berada dalam kawasan tasik.
Sumber Gambar :- Facebook Taman Ekstrem Tasik Chinchin
Lokasi Taman Ekstrem Tasik Chinchin
Untuk keterangan lanjut sila hubungi :-
Untuk maklumat lanjut:-
Taman Tema Air ChinChin, Jasin, Melaka
Address: 77000 Jasin, Malacca
Phone: 06-524 6080
Atau layari Facebook Taman Ekstrem Tasik Chinchin
Pihak pengurusan mesti bertanggungjawab menjaga kemudahan2 yang ada. Projek yang melibatkan jutaan ringgit tapi tidak diselia dengan baik sangat mendukacitakan.semasa kami datang air kolam bertukar hijau dengan taman tema tersebut tidak dapat digunakan. Bilik air yang teruk. memalukan