Bagi sesiapa yang singgah ke Melaka terutama di kawasan berhampiran Sungai Melaka mungkin tertanya-tanya satu struktur tiang yang kosong tiada fungsinya.
Ia seakan landasan keretapi tetapi tiada pun perjalanan yang berlaku. Kini selepas hampir empat tahun tiada aktiviti di tiang rel itu, fungsinya dikembalikan semula.
Monorel Melaka yang pernah menjadi bualan terutama yang negatif kini kembali beroperasi pada minggu lalu (4 Disember 2017).Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Datuk Zainal Hussin dalam kenyataan memaklumkan perkhidmatan monorel berbentuk pelancongan itu beroperasi mulai jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari dengan harga tiket RM10 hingga RM15.
Untuk mendapatkan tiket, pengunjung boleh membelinya di kaunter aras 1 Bangunan Monorel, Stesen Tun Ali berhampiran Restoran Melayu Melaka dan perkhidmatan akan dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam pada hari Jumaat dan Sabtu.
Buat masa ini, monorel yang kini dikendalikan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu hanya mempunyai satu gerabak yang boleh menampung seramai 24 orang penumpang dengan laluan sehala serta mengambil masa kira-kira 30 minit bagi perjalanan sejauh tiga kilometer.
Laluan monorel ini bermula dari Stesen Tun Ali ke Taman Rempah seterusnya melalui The Shore dan ke Pirate Park diikuti Kampung Morten sebelum menuju ke destinasi asal di Stesen Tun Ali.
Perkhidmatan monorel ini yang digantung akibat banyak kejadian penumpang terkandasr sehingga mengakibatkan . Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat menahan perkhidmatan tersebut dari beroperasi pada tahun 2013.
Menurut Zainal, monorel yang dibina dengan kos RM16.5 juta ini akan menambahkan lagi produk pelancongan menarik kepada pelancong samada dalam atau luar negara.
Melakacool mengucapkan syabas terhadap pembukaan semula monorel tersebut dan diharap tiada lagi insiden penumpang terkandas seperti sebelum ini. Mungkin juga struktur rangka rel itu perlu diperkemaskan dan boleh dicadangkan agar monorel ini boleh menjadi pengangkutan awam bagi para pelancong. Jika hanya penggunaan pelancongan sahaja mungkin tidak memberi impak yang besar terutama kepada rakyat Melaka sendiri.
Tidak hanya berlegar di kawasan tersebut mungkin boleh ditambah hingga ke kawasan Jonker Walk dan seterusnya Banda Hilir yang sering sibuk pada hari cuti. Mungkin dengan perkhidmatan monorel dapat mengurangkan sedikit kesesakan lalulintas di kawasan tersebut.