Melaka akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkan pelancongan kreatif yang dinamakan sebagai #KisahMelaka.
Melaka, negeri yang terkenal sebagai negeri pelancongan. Semua sedia maklum tentang kepelbagaian produk pelancongan di negeri Melaka yang melibatkan pelbagai kategori. Dengan pelancaran pelacongan kreatif, ia akan menjadi satu lagi lipatan sejarah dilakar oleh negeri Melaka.
Produk Pelancongan unik ini akan memberikan peluang kepada pelancong untuk berinteraksi dengan destinasi pelancongan. Mereka akan merasai pengalaman pendidikan, emosi, social dan penglibatan penduduk setempat sekaligus memberikan suasana seperti menjadi sebahagian rakyat Negeri Melaka.
Dalam ucapan teks Ketua Menteri Melaka semasa Pameran Perdagangan Pelancongan Dunia, World Travel Market (WTM) London 2017 di Excel London, United Kingdom pada 7 November 2017 lalu menyatakan bahawa pelancongan kreatif merupakan gabungan industri kreatif dan pelancongan budaya yang menawarkan pemikiran kreatif dan interaksi pelancong bersama ciri fizikal semula jadi dan komponen kebudayaan di sesuatu destinasi berkenaan.
Menurutnya juga, generasi baru pelancong mendapat manfaat pelancongan kreatif serta boleh berkongsi pengalaman menarik ini bersama rakan-rakan serta keluarga mahupun orang ramai melalui perkongsian di medium media social seperti facebook, twitter dan instagram.
Ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato’ Sri Mohamed Nazri Abdul Aziz itu juga menyatakan hasrat Negeri Melaka untuk menjadi ahli kepada Bandaraya Kreatif Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang merupakan barisan hadapan UNESCO dalam usaha untuk memupuk inovasi dan kreativiti sebagai pemacu utama ke arah pembangunan Bandar yang lebih mampan dan inklusif.
Dengan menjadi ahli, kerjasama antara Melaka dan bandar raya lain di dunia akan lebih dipertingkatkan terutama melalui Rangkaian Bandaraya Kreatif.
Melalui kaedah ini, laman-laman web setiap bandaraya dapat dihubungkan secara bersepadu serta maklumat dapat dikongsi bersama seperti acara calendar tahunan, destinasi-destinasi produk pelancongan serta lain-lain aktiviti yang terdapat di Melaka.
Menurut Timbalan EXCO Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Wira Ghazale Muhamad #KisahMelaka merupakan pakej yang diperkenalkan bagi mengimbau kembali memori berdasarkan ‘Pengisahan Melaka’ dalam tempoh masa berlainan.
Ia akan membantu pelancong untuk mengenali Melaka dengan lebih dekat. Melalui pakej #KisahMelaka, pelancong akan melalui merasai suasana era zaman Kesultanan Melayu Melaka ke zaman Portugis, zaman Peranakan, Belanda, Inggeris dan akhirnya ke zaman Moden Melaka.

Terdapat 5 elemen yang diketengahkan dalam pakej #KisahMelaka iaitu:
- Makanan
- Sejarah
- Aktiviti
- Pemandangan
- dan Beli Belah
Pelancong boleh memilih personality masing-masing sama ada sebagai Pengembara, Santai ataupun Warisan (Seni Budaya dan Masakan) melalui lawatan ke destinasi-destinasi bersejarah mahupun aktiviti-aktiviti pembelajaran sejarah dan warisan budaya Melaka.
Untuk pengemar aktiviti lasak, mereka boleh mempelajari Silat, Memanah, dan sebagainya di lokasi terpilih seperti di Perkampungan Hang Tuah, Portuguese Settlement atau di Muzium Kesultanan Melayu Melaka.
Bagi yang mengemari seni budaya, mereka boleh mempelajari seni pembuatan keris Melaka atau tarian tradisional Melaka dan kemudiannya mempersembahkannya di Panggung Bangsawan di Melaka di hadapan penonton-penonton. Selain itu akan diadakan acara aktiviti Masakan Tradisi Melaka yang melibatkan pelbagai kaum.