Bagi penduduk negeri Melaka mungkin dah tahu tentang penggunaan Smart Meter TNB oleh syarikat Tenaga Nasional Berhad. Tahukah anda bahawa Melaka merupakan negeri perintis bagi penggunaan Smart Meter di Malaysia ini.
Bayangkan dari 14 negeri yang terdapat di Malaysia ini, Melaka menjadi negeri yang memulakan projek berteknologi tinggi ini. Ini sejajar dengan slogan Melaka satu ketika dahulu ‘Segalanya Bermula di Melaka’. Jika kita mengikuti perkembangan semasa, Melaka juga telah dipilih sebagai projek pilot bagi Internet berkelajuan tinggi yang juga dicetuskan oleh pihak TNB.
Tapi tahukah anda kenapa negeri Melaka dipilih dalam projek-projek ini? Dalam kempen Kesedaran Meter Pintar yang diadakan baru-baru ini, pihak MelakaCool telah mendengar penjelasan dari wakil pihak TNB tentang pemilihan negeri Melaka ini.
Antara Sebab Melaka Di Pilih Sebagai Negeri Pertama Untuk Pemasangan Meter Pintar / Smart Meter TNB
- Ia merupakan kehendak pihak Kerajaan Negeri Melaka untuk menjadi pelopor bagi teknologi baharu termasuklah yang dibawa oleh TNB. Ia merupakan hasrat kerajaan negeri untuk menaikf taraf kehidupan rakyat negeri Melaka bagi membantu kesejahteraan rakyat.
- Melaka merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai Pelan Tindakan Berkenaan Bandar Pintar dan Teknologi Hijau. Ini memudahkan syarikat TNB untuk melaksanakan projek tersebut berdasarkan komitmen oleh Kerajaan Negeri Melaka.
- Dengan pelan yang tersedia, tatacara pelaksanaan smart meter juga mudah disediakan ditambah dengan infrastruktur yang baik.
Dalam kenyataan wakil TNB sehingga 27 Januari 2019, hampir 188,000 unit smart meter telah dipasang di negeri Melaka. Ia adalah melebihi dari 50% sasaran untuk mencapai pemasangan 340,000 unit sehingga hujung tahun ini.
Ia juga penanda aras bagi TNB yang ingin melengkapkan 1.5 juta smart meter menjelang tahun 2020 nanti.
Tapi tahukah anda apa itu Smart Meter TNB?

Smart Meter adalah alat untuk ukur penggunaan elektrik yang membolehkan komunikasi dua hala antara Smart Meter dan TNB. Melalui penggunaan Smart Meter ia membolehkan:
- Rekod Bacaan dilakukan setiap 30 minit.
- Data dihantar ke pihak TNB secara automatik melalui talian komunikasi tanpa wayar. Maklumat penggunaan akan dikemaskini dengan lebih pantas.
- Tiada lagi pembaca meter yang terpaksa menggunakan teropong untuk membaca meter. Ia juga bagi mengelakkan kesilapan pembacaan manual dari pembaca meter.
- Gangguan bekalan elektrik akan dapat diketahui secara terus oleh TNB tanpa perlu menunggu aduan dari pengguna.
Dengan penggunaan smart meter ini, pengguna boleh melakukan pemantauan penggunaan elektrik kerana TNB menyediakan aplikasi telefon pintar serta portal khas untuk smart meter.
Pengguna boleh melihat sendiri penggunaan elektrik berdasarkan julat yang dikehendaki. Ini boleh membantu pengguna menyiapkan bajet bulanan serta melakukan penjimatan penggunaan elektrik.
Melalui smart meter ini juga pembacaan lebih telus kerana tiada lagi penggunaan manual dilakukan.

Untuk keterangan lanjut anda boleh merujuk TNB berdekatan anda. Di Melaka cawangan TNB mengikut daerah adalah seperti berikut ataupun terus ke laman web TNB.
Ibu Pejabat TNB Melaka
Jalan Banda Kaaba
Kampung Banda Kaaba
75000 Melaka
06-2828544
TNB Alor Gajah
No 3055 Jalan Melaka- Alor Gajah
Pekan Alor Gajah
78000 Alor Gajah
TNB Jasin
Pejabat Tenaga Jasin
77000 Jasin
Melaka