Casugria Boutique Residence, Vila Warisan Belanda Terakhir di Melaka

Casugria Boutique Hotel

Siapa menyangka sebuah rumah tinggalan lama kini menjadi sebuah vila penginapan unik seperti Casugria Boutique Residence. Seiring dengan tren terkini yang menjadikan rumah tradisional atau bangunan lama yag diubahsuai menjadi sebuah penginapan bertema sekali gus menjadi faktor ‘wow’ kepada para pelancong yang menginap. Menjadi kebiasaan bangunan-bangunan atau rumah-rumah lama ini berada di celah-celah pembangunan baru atau kawasan pancakar langit, sekali gus menyebabkan ramai yang kurang menyedari kewujudannya. Itulah keistimewaannya apabila penginapan seperti ini menjadi sebuah penginapan yang agak peribadi dan kurang sibuk tidak seperti hotel-hotel lain lazimnya.

Casugria Boutique Residence Melaka

Terletak di tengah-tengah pembangunan Bandar Melaka, Casugria Boutique Residence yang merupakan sebuah rumah warisan Belanda dibina pada 30 Ogos 1810 oleh seorang warga Belanda yang paling berpengaruh dan turut dipercayai bertindak sebagai Pemangku Gabenor Melaka yang datang ke Melaka semasa zaman penjajahan Belanda antara tahun 1641 hingga 1824 sebelum diserahkan kepada British di dalam Perjanjian British-Belanda pada tahun 1824.

Casugria merupakan singkatan daripada Casa Susegadu Algeria yang diterjemahkan dari bahasa Portugis ke bahasa Inggeris bermaksud House of Contentment and Happiness. Casugria yang diubahsuai menjadi sebuah penginapan bertema sebenarnya berasal dari sebuah rumah tradisional dengan seni bina kayu ala kampung. Walaupun rumah ini dimiliki oleh orang Belanda, namun jika dilihat dari segi sebi binanya, terdapat unsur Melayu diterapkan. Bahagian atas rumah ini dibina daripada kayu mempunyai seni ukiran Melayu dan terdapat jubin Eropah di bahagian lantai. Jelas sekali rumah ini telah dibina oleh seorang tukang kayu berbangsa Melayu dan asimilasi Melayu-Eropah jelas diterapkan oleh pemilik asal bagi menghormati penduduk setempat pada ketika itu.

Sebagai rumah yang masih wujud di tengah-tengah arus pembangunan pemodenan Melaka, vila kolonial warisan Belanda ini dijaga dengan kemas dan rapi di samping mengekalkan nilai-nilai warisannya untuk dinikmati oleh generasi masa kini terutamanya pelancong asing.

Rumah warisan turun-temurun ini kini dimiliki oleh Sean Sta Maria yang membeli rumah ini daripada ahli keluarganya yang terdekat pada tahun 2008 dan mula tinggal bersama keluarga kecil beliau semenjak itu. Walaupun terdapat beratus-ratus rumah kedai warisan Belanda masih ada sehingga kini, namun vila Casugria merupakan satu-satunya vila Belanda yang masih wujud dan terakhir di Melaka dan sekali gus di Malaysia.

Casugria Boutique Residence Ialah Sebuah Vila Setaraf Hotel 4 bintang

Memandangkan rumah ini agak besar dan luas untuk beliau dan isterinya apabila anak-anak beliau sudah besar dan tidak lagi tinggal bersama kerana bekerja dan belajar di tempat lain, pasangan ini mula menawarkan ruang-ruang bilik mereka kepada orang luar. Casugria Boutique Residence bukanlah hotel butik dan sebenarnya lebih kepada kateori Bed & Breakfast di mana pasangan ini masih tinggal bersama-sama tetamunya. Namun kemudahan yang ditawarkan di vila ini sangat lengkap dengan fasiliti hotel bertaraf 4 bintang.

Vila Casugria adalah ekslusif, bersifat peribadi dan penginapan warisan mewah yang mempunyai 4 buah bilik iaitu:

  • Garden Chalet
  • Pool Chalet
  • Family Studio dan
  • Family Garden Chalet dengan harga yang sangat berpatutan.
Casugria Melaka

Vila ini lengkap berpagar dan dikawal dengan kawalan keselematan selama 24 jam sehari dengan bantuan CCTV. Walaupun semua kemudahan perkhidmatan dan pengawal keselematan sentiasa berada di vila utama, semua tetamu yang menginap di rumah ini mempunyai akses yang berasingan ke ruang chalet mereka tanpa memerlukan mereka melalui vila utama.

Sarapan dan Minum Petang Termasuk Dalam Pakej Penginapan di Casugria Boutique Residence

Casugria Melaka Kitchen

The Dining Pavilion merupakan ruang fokal utama bagi pertemuan dan ruang interaksi di antara pemilik rumah ini dengan tetamunya di mana semua tetamu akan menjamu hidangan sarapan pada setiap pagi dan minum petang di sini. Pemilik rumah ini menghidangkan makanan halal kepada tetamunya turut menawarkan penggunaan dapur secara bebas sekiranya tetamu ingin memasak makanan mereka dengan syarat makanan yang dimasak adalah halal. Bertetapan dengan maksud Casugria yang bermaksud Rumah Yang Penuh Dengan Kebahagian dan Kesejahteraan, pemilik dan isteri tidak memilih sebarang bangsa untuk menginap di rumah ini. Mereka menerapkan unsur-unsur perpaduan di rumah ini dan masih percaya masyarakat berbilang kaum dan berbeza agama masih boleh tinggal bersama-sama dengan aman dan harmoni serta menghormati hak masing-masing.

Fasiliti Yang Terdapat di Casugria Boutique Residence

Casugrai turut menyediakan sebuah kolam renang therapeutic yang menggunakan garam asli yang kebiasaannya digunakan sebagai bahan masakan bagi tujuan sanitasi kolam renang dan bebas dari sebarang penggunaan bahan kimia yang memudaratkan. Casugria turut menawarkan kemudahan seperti:

  • wifi percuma
  • penghawa dingin
  • air pancur panas
  • pengering rambut
  • tempat letak kereta percuma
  • kemudahan siaran kabel Astro
  • fasiliti BBQ, komputer
  • dan lain-lain lagi selain ruang taman yang luas untuk pelbagai aktiviti riadah.

Mempunyai kelebihan dengan lokasi strategik di dalam kawasan warisan UNESCO, tetamu di sini boleh bersiar-siar ke beberapa destinasi pelancongan popular di Banda Hilir dengan hanya berjalan kaki. Menara Taming Sari hanya 300 meter dari vila ini.

Walaupun Casugria agak terpencil dari pandangan luar, terdapat ramai pelancong asing terutamanya dari Eropah memilih untuk menikmati dan merasai pengalaman di sini yang jelas menonjolkan nilai kebudayaan asli dan mengekalkan nilai sentimental yang ada di Melaka. Penginapan yang sarat dengan elemen nostalgia, gabungan tradisional dan kotemporari yang diketengahkan oleh Casugria menjadi pilihan ramai pelancong asing dan tempatan tanpa mengetepikan keselesaan dan gaya hidup terkini.

Bagi anda yang ini merasai pengalaman tinaggal di rumah warisan denagn fasiliti lengkap bak hotel mewah, Casugria merupakan pilihan yang tepat bagi anda untuk berehat bersama keluarga dan teman-teman.

Casugria Boutique Residence Melaka
117 Jalan Parameswara
Banda Hilir
Melaka
Sean Sta Maria | 012-326 6089 | seanstamaria@gmail.com
Casugria Boutique Heritage Residence FB Page

Artikel asal oleh Yati Sahlan, MHI. Diterbitkan pada hari Rabu, 31 Januari 2018.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to Top