Menelurusi Keunikan Baba Dan Nyonya Melaka

Baba dan Nyonya Melaka adalah satu topik yang agak menarik. Tak sangka PERZIM ada menerbitkan majalah Tinta. Dari situ juga saya terbaca artikel tulisan Faiz bin Mohd Baharom mengenai Baba dan Nyonya. Rugi kalau saya tak kongsikan di sini.

Saya ke laman web PERZIM pada masa itu pun sebab sedang mencari maklumat mengenai penukaran nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka.

Siapakah Baba?

Baba adalah segolongan keturunan kaum Cina yang unik kedudukannya di antara kalangan kaum Cina yang terdapat di Malaysia dan Singapura. Mereka juga dikenali sebagai Cina Selat kerana dilahirkan di Negeri-negeri Selat. Keturunan mereka terbentuk bermula seawal kurun ke-19. Mereka menggelar diri mereka sebagai ‘Baba’ atau ‘Peranakan’ kerana kebudayaan mereka berasal daripada warisan tradisi Cina namun memiliki unsur-unsur pengaruh kebudayaan Melayu. Penyesuaian dan resapan budaya mereka terhadap suasana sosio-budaya di persekitaran mereka pada zaman-zaman silam adalah punca utama mengapa generasi-generasi seterusnya memanggil mereka sebagai ‘Baba.

Komuniti Baba di Melaka yang terdapat pada hari ini bertutur dalam bahasa Melayu dengan menggunakan gaya bahasa Baba yang boleh dipanggil juga sebagai bahasa Melayu Baba. Cara masakan mereka kebanyakannya diresapi oleh cara masakan bangsa Melayu dan adalah menjadi satu kebiasaan bagi mereka untuk makan dengan tangan sebagaimana yang biasa dipraktikkan oleh orang-orang Melayu. Generasi Nyonya iaitu Baba perempuan pula masih lagi memakai kostum Nyonya, pakaian kebaya baju panjang dan sarung batik sebagaimana yang dipakai oleh wanita-wanita Melayu. Rekaan selipar dan kasut manik yang dipakai golongan ‘Nyonya’ juga sering memperlihatkan motif bunga Eropah dan warnanya dipengaruhi oleh tembikar peranakan serta sarung batik.

Namun demikian dalam aspek-aspek kebudayaan yang lain seperti sistem kekeluargaan dan kepercayaan agama, komuniti Baba dan Nyonya Melaka masih lagi kekal dengan amalan dan kepercayaan warisan Cina mereka sendiri. Tambahan pula komuniti Baba dan Nyonya Melaka masih lagi mengamalkan sebahagian resam budaya Cina yang sudah tidak dihiraukan lagi dalam kalangan masyarakat Cina Malaysia itu sendiri. Contohnya seperti adat istiadat perkahwinan Cina tradisional yang masih memperlihatkan pemakaian indah berwarna-warni warisan budaya Cina tradisi oleh kedua- dua pengantin yang diraikan.

Perkembangan Sejarah

Budaya Baba dan Nyonya Melaka merupakan hasil dari pertemuan asimilasi di antara kebudayaan orang Cina dan kebudayaan masyarakat tempatan. Proses ini sudah lama berlaku dan kebanyakan para pendatang Cina yang terawal sekali berhijrah ke Tanah Melayu adalah daripada kelompok Hokkien. Maka tidak hairanlah kebanyakan komuniti Baba itu sendiri adalah dari kalangan bangsa Hokkien dan mereka yang berasal dari keturunan Hokkien ini masih menganggap diri mereka sebagai orang Hokkien meskipun kebanyakannya tidak pandai bercakap loghat Hokkien. Namun demikian ada juga orang Baba yang berasal dari keturunan Konfu, Kheh (Hakka) dan lain-lain.

Budaya Baba dan Nyonya berasal dari Melaka namun apabila Pulau Pinang dan Singapura mulai berkembang dan dimajukan, ramai dalam kalangan mereka yang berpindah ke kedua-dua negeri ini terutamanya Singapura. Pada zaman penjajahan Inggeris, komuniti Baba turut dikenali sebagai ‘Straits Chinese’ iaitu Orang Cina Negeri-Negeri Selat. Namun bukan semua orang Cina di Negeri-Negeri Selat itu adalah Baba kerana gelaran ini termasuk bagi mereka yang dilahirkan di Negeri-Negeri Selat dan juga yang telah menjadi warganegara Inggeris.

Pada abad ke-19, peniaga-peniaga dari kalangan komuniti Baba merupakan ahli-ahli perniagaan yang penting di Negeri-Negeri Selat dan para pemimpin Baba juga dianggap oleh pihak penjajah sebagai pemimpin-pemimpin bagi kaum Cina pada masa itu. Semasa kebanyakan daripada orang Cina masih menumpahkan taat setia kepada negara asal mereka sendiri iaitu Negara China, komuniti Baba sebenarnya telah pun memberikan tumpuan orientasi politik mereka kepada Tanah Melayu. Sementelah kerajaan pada ketika itu dikuasai oleh Inggeris maka kesetiaan komuniti Baba khususnya dalam kalangan para pemimpin Straits Chinese British Association yang merupakan sebuah persatuan Cina Negeri-Negeri Selat telah memberikan taat setia mereka kepada kerajaan Inggeris sehingga menjelang kemerdekaan. Namun demikian, ada juga dalam kalangan komuniti Baba yang turut berjuang bersama-sama pemimpin-pemimpin Melayu untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.

Agama dan Perayaan

Komuniti Baba dan Nyonya Melaka begitu taksub dengan kepercayaan dan amalan beragama, mengikut dogma karma dan kelahiran semula yang terdapat dalam ajaran Buddha di samping menyembah tuhan-tuhan Taiost serta begitu taat kepada kod moral dan sosial ajaran Confucius. Tokong Kuan Kong, Kuan Im Ma dan Buddha bagi sesuatu keluarga tradisional Baba dan Nyonya akan diletakkan di tempat istimewa di dewan ‘ante’ dan di tempat pemujaan nenek moyang yang terdapat di dalam dewan bersebelahan rumah- rumah lama. Di dalam rumah-rumah moden yang lebih kecil, tempat pemujaan ini akan diletakkan di dalam bilik rehat.

Namun terdapat juga komuniti Baba dan Nyonya Melaka yang mengambil bahagian di dalam upacara-upacara keagamaan agama lain seperti Hindu dan Kristian serta menyembah keramat orang-orang Melayu dan ini bukanlah satu keanehan.

Komuniti Baba dan Nyonya turut merayakan perayaan-perayaan Cina seperti Tahun Baru Cina, Cheng Beng, ‘Feast of the Hungry Ghosts, Kuih Bulan dan perayaan-perayaan di pertengahan musim luruh. Di dalam kesemua perayaan ini keunikan komuniti Baba dan Nyonya begitu terserlah kerana berbagai peralatan sembahyang yang beraneka warna ‘ritualistic paraphernalia, diletakkan di atas tempat sembahyang yang dihias indah dengan kain bersulam penuh, perabut-perabut mereka ditutupi dengan kain berhias, peralatan nyonya pula digunakan untuk menghidangkan makanan-makanan enak seperti pon-teh, itek tim, itek sioh, itek panggang, daging babi dan sambal belacan. Di samping itu alat-alat perhiasan diri nyonya turut dipakai oleh anak-anak gadis dan wanita dewasa. Bau-bauan dan rakaman muzik serunai menjadikan suasana majlis begitu meriah dan berseri-seri. Di masa lampau, tarian singa dan naga serta ronggeng juga merupakan antara daya tarikan utama dalam setiap upacara perayaan.

Rumah Baba dan Nyonya di Melaka

Pada awalnya rumah tradisional komuniti Baba dan Nyonya di Melaka kebanyakannya terletak di Jalan Heeren yang kini dikenali sebagai Jalan Tun Tan Cheng Lock. Ianya turut dikenali sebagai Kampung Belanda berdekatan Jonker Street. Rumah-rumah komuniti Baba dan Nyonya Melaka ini telah wujud lebih dari 200 tahun dahulu. Perkampungan Baba dan Nyonya di Jalan Tun Tan Cheng Lock ini juga telah diwartakan oleh Perbadanan Muzium Melaka sebagai salah satu kampung warisan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya tahun 1988. Namun demikian generasi-generasi Baba dan Nyonya ini turut tinggal merata di seluruh negeri Melaka terutamanya di kawasan perkampungan di pinggir bandar.

Jika dilihat sebahagian besar rumah komuniti Baba dan Nyonya di kawasan bandar Melaka dibina rapat, memanjang ke belakang dan memiliki fasad yang sempit memandangkan semasa zaman pemerintahan Belanda di Melaka, cukai dikutip berdasarkan kelebaran setiap fasad rumah. Ini bertujuan agar ianya dapat memperdayakan si pemungut cukai. Ironinya masalah ruang dalaman yang sempit ini diatasi dengan membina rumah memanjang ke belakang bagi menggantikan kekurangan lebar fasad rumah tersebut.

Seperti yang kita ketahui komuniti Baba dan Nyonya Melaka ini mempunyai adat dan tradisi mereka sendiri serta berlainan dari apa yang diamalkan di Negara China. Akan tetapi sesetengah daripada adatnya kini telah mulai beransur hilang terutamanya berkaitan adat istiadat perkahwinan dan pemilikan rumah-rumah tradisional Baba dan Nyonya.

Perkahwinan Baba dan Nyonya Melaka

Perkahwinan Baba dan Nyonya Melaka tradisional adalah satu warisan pusaka yang sungguh unik. Upacara ini dimulakan dengan pemberian ‘Chiu-Thau’ yang dianggap suci dan disusuli pula dengan ‘Chim-Pong’ apabila kedua pengantin bertemu buat pertama kalinya semasa menziarahi dewa Syurga, Bumi dan Manusia di hadapan tempat pemujaan khas bertingkat tiga yang dipanggil ‘Sam-Kai’. Setiap gerak-geri pemujaan dan gerak langkah kedua-dua mempelai dalam upacara ini diatur dengan rapi supaya dapat disesuaikan dengan rentak irama muzik serunai tradisional yang begitu penting dalam setiap perkahwinan komuniti Baba dan Nyonya.

Kebiasaannya ketua juru andam atau dikenali juga sebagai ‘sang kheh umm’ adalah terdiri daripada orang dewasa yang mengetahui akan selok-belok dan simbol-simbol pemujaan, faham tatacara mengenakan dan memakaikan pakaian pengantin yang disulam indah, menarik dan berwarna-warni yang dikenali sebagai ‘kuah. Kasut-kasut pengantin pula dibuat daripada kain satin bersulam dan mestilah secocok dengan ukuran kaki kedua mempelai. Rambut pengantin akan digubah indah seperti sebuah mahkota dengan menggunakan ‘sanggul Cina’ dan disematkan dengan lebih kurang 170 batang pin berhias. Pengantin lelakinya pula akan dipakaikan dengan topi Cina Manderin yang dihiasi permata.

Baba dan Nyonya Melaka

Jamuan sebelum upacara perkahwinan akan diadakan terlebih dahulu sebelum majlis-majlis sosial yang lain. Hari ketiga dan kedua belas adalah hari yang terpenting sekali dalam majlis perkahwinan tersebut. Pada hari ini upacara-upacara yang sedemikian rupa dapat disempurnakan dalam masa satu atau tiga hari. Pada masa lampau kedua-dua pengantin, pengiring pengantin lelaki dan pengiring pengantin perempuan akan diusung dengan kerusi usung dan diarak keliling kota. Pengalaman menjadi ‘raja sehari dalam peristiwa perkahwinan ini adalah satu pengalaman indah yang tidak dapat dilupakan oleh kedua mempelai.

Pantang larang juga adalah satu perkara yang sentiasa diawasi dan diambil berat dalam memilih dan menentukan tarikh serta masa yang sesuai untuk mengadakan sesuatu majlis perkahwinan dalam komuniti Baba dan Nyonya.

Masakan Baba dan Nyonya Melaka

Masakan Baba dan Nyonya berasal daripada jenis-jenis masakan Cina tetapi ianya telah disesuaikan dengan selera Baba dan Nyonya itu sendiri, yang lebih gemar kepada masakan pedas dan berempah. Walau bagaimanapun terdapat juga masakan-masakan Baba dan Nyonya yang serupa dengan masakan masyarakat Melayu dan ianya turut telah disesuaikan dengan kandungan ramuan yang digunakan serta diberikan nama-nama yang berlainan. Setelah melalui beberapa peredaran zaman, jenis-jenis masakan ini dibahagikan mengikut tradisi dan kemampuan pendapatan seisi rumahnya, masakan harian, masakan yang dihidangkan pada majlis-majlis kematian dan masakan semasa pemujaan roh nenek moyang.

Kuih Abuk-Abuk Dan Pulut Inti Baba dan Nyonya Melaka

Kuih-kuih juga telah diperjeniskan mengikut keadaannya, yang mana kuih-kuih diperbuat daripada beras dan pulut akan dihidangkan di dalam sesuatu majlis perayaan. Jenis-jenis kuih lain pula akan dihidangkan pada hari keraian biasa. Masakan-masakan tradisi akan disajikan semasa menyambut hari jadi, Tahun Baru Cina dan perkahwinan. Jenis-jenis masakan ini terdiri daripada kari sambal, pang-teh, bak-wan kepiting (babi cincang dan sop ketam), itek tim (itik dimasak dengan sayuran yang diperam), itek sioh (itik yang disalut dengan rempah), hati babi bungkus, acar nyonya dan nasi lemak. Pada majlis menyambut hari jadi pula akan dihidangkan nasi kunyit dan mi yang dibuat khas yang dinamakan ‘mee sua tau. Mi istimewa ini dikatakan bagi memenuhi hajat supaya dipanjangkan umur. Di dalam upacara-upacara kematian makanan yang lebih ringan akan disajikan kepada para pelawat namun hidangan mi akan dhidangkan juga selepas selesai upacara pengebumian sebagai ucapan selamat dan dilanjutkan usia kepada pelawat-pelawat yang hadir.

Selain daripada kuih-kuih Cina tradisional, semasa menyambut Tahun Baru kuih-kuih seperti kuih bakul atau ‘tih kuey’ dan ‘kuey ku’ iaitu kuih yang berbentuk kura-kura berwarna merah, biru atau hitam akan dihidang di samping kuih-kuih Melayu seperti dodol, wajik, tapai, baulu, apam berkuah, kuih talam, genggang, pulut seri kaya dan lain-lain lagi.

Kesusasteraan

Pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20, komuniti Baba khususnya yang berada di Singapura telah menerbitkan akhbar-akhbar, majalah dan buku yang bukan sahaja ditulis dalam Bahasa Inggeris bahkan ianya turut diterbitkan dalam tulisan rumi Bahasa Melayu Baba. Penulisan-penulisan puisi, pantun dan syair serta cerita-cerita telah diterbitkan di dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah berbentuk buku. Antara akhbar Baba yang terawal ialah Surat Peranakan atau Straits Chinese Herald yang telah diterbitkan pada tahun 1894 di dalam Bahasa Inggeris dan Melayu Baba, diikuti pula oleh Bintang Timor akhbar tulisan Rumi yang pertama diterbitkan dalam Bahasa Melayu di Tanah Melayu. Akhbar-akhbar Baba yang lain adalah seperti Malaysia Advocate (1910), Kabar Selalu (1924) dan Malacca Guardian (1928).

Antara koleksi majalah terpenting yang diterbitkan oleh Orang- orang Cina Negeri Selat pula adalah The Straits Chinese Magazine, majalah dalam Bahasa Inggeris pada tahun 1897. Bintang Peranakan yang diterbitkan pada tahun 1932 pula adalah antara majalah dalam Bahasa Melayu Baba yang terpenting bagi komuniti Baba. Mulai dari kurun yang ke-19 sehingga tahun 1950 komuniti Baba turut menerbitkan hasil-hasil terjemahan mengenai cerita-cerita Cina, cerita-cerita rekaan popular, roman dan klasik ke dalam Bahasa Melayu Rumi. Kini kebanyakan daripada buku-buku ini sudah sukar didapati dan hanya disimpan di perpustakaan serta dimiliki oleh orang-orang Baba tertentu sahaja.

Bahasa Melayu Baba

Bahasa Melayu yang digunakan oleh komuniti Baba dan Nyonya Melaka mempunyai keunikannya yang tersendiri. Ini kerana komuniti Baba dan Nyonya menggunakan gabungan dialek Cina Hokkien dan dialek Bahasa Melayu lalu menamakan bahasa ini sebagai Bahasa Melayu Baba iaitu dialek Kreol. Percampuran bahasa ini disebabkan oleh kedatangan orang dan pedagang China ke Tanah Melayu. Apabila orang dan pedagang China ini datang ke Tanah Melayu mereka telah menetap dan berkahwin dengan penduduk tempatan. Hasil dari perkahwinan tersebut maka lahirlah komuniti yang dikenali sebagai Baba dan Nyonya sehingga terbentuknya percampuran bahasa tersebut. Namun begitu, ini merupakan definisi yang simplistik kerana komuniti Baba dan Nyonya ini sebenarnya memilih aspek yang khusus pada setiap dialek bahasa yang mereka jumpa dan mengubah suai bahasa tersebut mengikut kesesuaian mereka sendiri.

Pada asalnya bahasa ini dikembangkan mengikut pertuturan Bahasa Melayu pasar dan dari segi linguistiknya mungkin tidak begitu tepat dan sesuai. Oleh sebab gaya bahasa ini telah menjadi kebiasaan kepada komuniti Baba, ianya boleh dianggap sebagai dialek Bahasa Melayu Baba yang berbeza daripada dialek-dialek Bahasa Melayu yang lain di rantau ini. Bahasa Melayu Baba mengandungi banyak perkataan yang dipinjam daripada Bahasa Cina, Indonesia dan juga Inggeris. Struktur sintaktiknya berbeza daripada Bahasa Melayu dan dari segi fonologi serta semantik Bahasa Melayu Baba banyak perbezaannya daripada dialek-dialek Bahasa Melayu yang lain.

Jika diteliti terhadap bahasa Baba dan Nyonya didapati bahawa bahasa ini banyak dipinjam daripada bahasa Cina terutamanya bahasa Hokkien. Justeru tidak hairanlah kebanyakan perkataanny mempunyai penyebutan bunyi yang hampir sama dengan bahas Hokkien. Sebagai contoh adalah perkataan teko, kuchai dan kue tiau yang disebut sebagai te-ko, ku-chai dan kutiau dalam bahasa Hokkien. Namun begitu makna perkataan-perkataan ini tidak lari daripada makna yang terdapat di dalam Bahasa Melayu itu sendiri.

Cumanya jika dilihat dari sudut Bahasa Melayu itu unsur tatabahasanya adalah tidak tepat. Contohnya sebutan dalam ayat Bahasa Melayu adalah ‘Saya mahu masak nasi’ manakala sebutan ayat dalam bahasa Baba dan Nyonya pula adalah ‘Gua mo masak nasik. Ini membuktikan bahawa tatabahasa adalah suatu bidang yang amat tidak dititikberatkan dalam Bahasa Melayu Baba. Menurut William Shellabear juga, “Bahasa Melayu Baba tidak terdapat tatabahasa tertentu kerana mereka tidak menunjukkan minat dalam mempelajarinya walaupun sudah lebih 400 tahun berada di Nusantara ini.”

Biasanya struktur ayat yang digunakan oleh komuniti Baba dan Nyonya adalah lebih banyak dipengaruhi oleh struktur bahasa Cina. Dalam bahasa Baba ini terdapat ‘hukum’ atau peraturan yang diamalkan dalam kalangan komuniti Baba dan Nyonya. Setiap perkataan yang berakhir dengan huruf ‘a’ akan disebut sebagai ‘ah’ dan ianya amat berbeza dengan masyarakat Melayu di mana mereka menyebutnya menjadi ‘er’.

Sebagai contoh perkataan saya akan disebut sebagai ‘sayah’ oleh komuniti Baba dan Nyonya manakala masyarakat Melayu pula akan menyebutnya sebagai ‘sayer.

Seterusnya perkataan yang berakhir dengan ‘al, ‘ar’ dan ‘as’ akan disebut sebagai ‘air’ oleh komuniti Baba dan Nyonya. Contohnya kapal akan disebut sebagai ‘kapair, ular disebut sebagai ‘ulair’ dan panas disebut sebagai ‘panair. Bagi perkataan yang berakhir dengan ‘ai’ pula, komuniti Baba dan Nyonya akan menyebutnya sebagai ‘ay. Ini boleh dilihat apabila perkataan Melayu seperti ramai akan disebut sebagai ‘ramay, sungai disebut sebagai ‘sungay’ dan lain- lain lagi.

Selain itu perkataan yang berakhir dengan huruf ‘u’ seperti pulau, limau dan kalau akan disebut sebagai ‘pulo, limo’ dan ‘kalo. Komuniti Baba dan Nyonya juga akan mengabaikan huruf ‘h’ pada setiap perkataan yang bermula dengan huruf ‘h’ dan hanya menyebut baki huruf lain yang tinggal. Sebagai contoh hidung disebut sebagai ‘idung, hitam disebut sebagai ‘itam’ dan hujan disebut sebagai ‘ujan. Bagi perkataan yang berakhir dengan huruf ‘i’ pula akan ditambah huruf ‘k dibahagian hujung perkataannya. Sebutan bagi perkataan ini adalah mirip seperti sebutan yang dilakukan oleh masyarakat Melayu pada perkataan Melayu iaitu nasi (nasik), biji (bijik) dan sebagainya.

Secara amnya, kebanyakan masyarakat Melayu tidak mempunyai masalah untuk memahami longat dan bahasa Baba namun sekiranya seseorang dalam komuniti Baba dan Nyonya ingin membalas semula percakapan di dalam satu perbualan dengan Bahasa Melayu, kemungkinan besar beliau akan menghadapi masalah untuk memahami dan membalasnya semula. Ada juga segelintir dalam kalangan komuniti Baba dan Nyonya yang tidak mahu masyarakat luar memahami setiap isi perbualan dalam kalangan mereka lalu mereka mengubah kedudukan suku kata dalam sesetengah perkataan. Contohnya masyarakat Cina yang bertutur di dalam bahasa Melayu akan mengubah ayat “kenapa dia macam ini?”, kepada “kenapa dia ini macam?” yang jelas menunjukkan perubahan kedudukan perkataan asal tersebut.

Namun bagi komuniti Baba dan Nyonya pula mereka akan mengubah ayat tadi menjadi “pakena dia nii camma?”. Dalam melihat transformasi yang berlaku ini perkataan yang mempunyai satu suku kata akan kekal manakala bagi perkataan yang memiliki dua suku kata akan diubah dengan menukar kedudukannya daripada depan ke belakang. Bagi perkataan yang mempunyai tiga suku kata pula suku kata terakhir akan dibawa ke bahagian paling hadapan. Contohnya ‘kenapa berubah menjadi ‘pakena. Justeru ianya bukanlah sesuatu yang aneh dan pelik apabila melihat komuniti Baba dan Nyonya ini bertutur sesama mereka dalam longat ini tanpa perlu berhenti atau mengulangi perkataan yang ingin disampaikan. Ini juga membuktikan mereka ini mempunyai kod bahasa yang dinamakan ‘cakap terbalik ataupun bahasa terbalik.

Sebagai kesimpulannya, keunikan bahasa Melayu Baba dalam kalangan komuniti Baba dan Nyonya ini merupakan sesuatu yang patut dibanggakan oleh masyarakat Melaka dan Malaysia amnya. Ia membuktikan proses asimilasi dan amalgamasi telah berlaku pada masyarakat zaman dahulu lagi, lalu membentuk satu masyarakat baharu yang mampu hidup secara harmoni dan aman di Melaka.

Bahasa Melayu Baba ini juga telah berperanan sebagai antara bahasa komunikasi yang berguna kepada si penuturnya. Ia umpama suatu jenis perhubungan yang berfungsi sebagai ‘jalan tengah’ yang mana ianya telah disesuaikan antara bahasa asal-usul mereka dengan bahasa asal masyarakat setempat. Apa yang pasti ianya telah memberi sumbangan yang amat berguna sebagai bahasa pertuturan dan telah memainkan peranan utamanya berfungsi untuk mengeratkan perhubungan dalam kalangan masyarakat penuturnya. Sejauh mana penggunaan Bahasa Melayu Baba ini akan berkembang ataupun lenyap kelak adalah bergantung sepenuhnya kepada kesetiaan si penuturnya. Hilang bahasa lenyaplah bangsa.

Barang dijual pasti dibeli, Asalkan ramah berbudi pekerti, Bahasa tak boleh dijual beli, Dari hidup sampailah mati.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.