Sambutan Hari Kemerdekaan merupakan acara tahunan yang ditunggu-tunggu. Ia memberikan semangat perjuangan kepada tanahair yang tercinta. Di Melaka sambutan di adakan di lokasi wajib iaitu di Banda Hilir Melaka.
Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan merupakan mercu tanda yang amat penting dalam sejarah kemerdekaan Malaysia. Lokasi inilah merupakan tempat pertama Tunku Abdul Rahman sampai sebelum meneruskan ucapan dan laungan Merdeka.
Ini membuktikan betapa pentingnya lokasi ini kepada negara tercinta Malaysia.
Tahun 2018 dengan slogan Sayangi Malaysiaku beserta dengan perubahan kerajaan baharu di Malaysia namun sambutan Hari Merdeka tetap dilaksanakan dengan meriah. Perarakan kemerdekaan ini diwakili oleh 196 kontijen dengan jumlah 9,884 peserta terlibat.
Perarakan dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan dimulakan oleh lintas hormat membawa Jalur Gemilang yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan negeri, pelajar dan mahasiwa Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi swasta dan pasukan badan beruniform sekolah.
Majlis yang turut dihadiri oleh Gabenor Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob serta Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka.
Perarakan ini dimulakan dari Banda Hilir menuju ke Stadium Hang Tuah iaitu kira-kira 2.4 kilometer jaraknya. Sambutan ini dihadiri oleh ribuan orang ramai termasuk para pelancong luar negara yang menyaksikan keunikan sambutan Hari Merdeka di Melaka yang penuh warna warni. Ramai yang sabar menunggu untuk menyaksikan perarakan tersebut sambil bersama-sama mengibarkan jalur gemilang dan melaungkan kata keramat ‘Merdeka’.
Selain itu persembahan tarian kanak-kanak cilik, deklamasi sajak, perarakan kereta serta perarakan kenderaan tentera juga menjadi tarikan pengunjung di program tersebut.
Menariknya pada program kali ini, Ketua Menteri juga mengadakan kempen untuk mengutip sampah selepas sambutan berkenaan bersama isterinya Dalilah Awaludin dan EXCO Perumahn, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri, Encik Tey Kok Kiew.
Menurutnya, kempen ini selari dengan visi Melaka Berwibawa, Pintar, Hijau dan Bersih yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri. Semestinya ia tidak hanya terhenti setakat ini dan perlu dikembangkan lagi kempen tersebut untuk program-program akan datang. Ia penting bagi memastikan Melaka menjadi negeri terbersih di Malaysia sekaligus menepati hasrat Ketua Menteri melalui slogannya. Ia juga bagi mendidik rakyat agar sentiasa peka dengan kebersihan di sekeliling kita.
Antara yang menarik perhatian ketika perarakan Sambutan Hari Kemerdekaan 61 di Melaka ialah perarakan motosikal berkuasa tinggi dengan seorang pemandu memakai helmet Predator.
Sumber gambar: Facebook Adly Zahari