MyFarm Outlet di UTC Melaka

Sekarang ini sukar untuk mendapatkan barangan segar terutama di kawasan bandar. Untuk pergi ke pasar basah pada waktu pagi sememangnya bukan tugas mudah. Kalau datang lambat ke pasar besar memang tak mendapat yang sepatutnya.
Bila pergi ke Pasaraya besar pula bukan semuanya segar. Ada ikan yang telah bermata merah dan daging pun tidak kenyal lagi. Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka dengan kerjasama Pertubuhan Peladang (NAFAS) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri Melaka telah bersatu dengan kerajaan untuk merealisaikan penjualan barangan yang lebih jimat.

MyFarm Outlet adalah inisiatif yang bermatlamat untuk meringankan beban rakyat disamping mendapatkan barangan yang lebih segar. Barangan keperluan harian ditawarkan dengan nilai lima hingga dua puluh peratus lebih rendah dari harga pasaran.
Kewujugan MyFarm Outlet ini adalah alternatif terutama kepada golongan di bandar/pekerja untuk mendapatkan barangan segar dengan harga lebih murah. EXCO Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Hasan Abd Rahman telah merasmikan My Farm Outlet pada 22 Julai yang lalu.

hasan rahman
EXCO Pertanian dan Pembangunan Usahawan, YB Datuk Hasan Abd Rahman dalam sidang media selepas merasmikan MY Farm Outlet di UTC

Beliau memaklumkan bahawa My Farm Outlet ini dilaksanakan di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (MBOS) bagi membantu golongan terutama yang berpendapatan rendah.
Konsep perniagaan My Farm Outlet ini hampir sama dengan Kedai Rakyat 1Malaysia dan Kedai Kain 1Malaysia cuma ianya lebih tertumpu kepada barangan basah seperti ayam, daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan termasuk barangan runcit.

my farm outlet utc melaka
Antara barangan basah yang di jual di My Farm Outlet UTC

Menurutnya juga, My Farm Outlet ini dijangka akan dikembangkan lagi dan dijangka ditambah di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Sungai Rambai bagi memberi kemudahan kepada penduduk di Gerbang Selatan , Melaka.

Sumber Gambar :- Facebook Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka

Melakacool menyambut baik usaha kerajaan untuk mengadakan My Farm Outlet ini. Semoga ianya boleh diperluaskan lagi. Cuma elok ianya berada di kawasan bandar dan elakkan persaingan dengan peniaga di Pasar Tani. Ia bagi mengelakkan persaingan yang boleh menyebabkan peniaga kecil-kecilan di Melaka mengalami masalah untuk meneruskan kelangsungan dalam perniagaan mereka.

Selain itu, pihak berwajib perlu juga melakukan semakan kepada syarikat yang mengendalikan My Farm Outlet ini agar mereka sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Bagi kakitangan yang bekerja di UTC pula, ini adalah kemudahan yang boleh digunakan oleh mereka yang tidak berkesempatan untuk ke pasar membeli barang basah untuk keluarga.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *