Lawatan kerja Perdana Menteri ke Melaka 21 April 2017

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Utama Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah melakukan lawatan kerja pada 21 April 2017 (Jumaat).
Beliau dalam rangka lawatan kerja sehari telah tiba kira-kira 9.30 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam .
Ketibaan beliau disambut oleh YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Hj. Idris bin Hj. Haron, YBhg Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Hj. Naim bin Abu Bakar serta barisan EXCO Kerajaan Negeri.

Perdana Menteri seterusnya menghadiri majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Melaka yang diadakan di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

PM-perhimpunan penjawat
YAB Perdana Menteri menyaksikan ucapan oleh YAB Ketua Menteri Melaka – Kredit Gambar : Facebook Norpipah Abdol

Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri ini yang dihadiri kira-kira 10,000 penjawat awam peringkat Negeri serta persekutuan. Dalam salah satu ucapannya, beliau memberitahu terdapat pelan besar yang dirancang iaitu Rel Berkelajuan Tinggi yang akan dilaksanakan di Ayer Keroh pada masa hadapan.

Selepas tamat acara di MITC, Perdana Menteri merasmikan Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya. Pusat Rehabilitasi PERKESO ini telah menyediakan pelbagai kemudahan rawatan pemulihan secara komprehensif merangkumi aspek fizikal dan vokasional kepada pesakit.
Pusat Rehabilitiasi ini merupakan pusat pertama di Asia Tenggara yang menyediakan kemudahan tersebut. Dalam lawatan tersebut, pusat tersebut diberi nama baru sebagai Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak (PRPTAR). Dalam majlis ini, ia turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Hj. Idris bin Hj. Haron ; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Seri Zainal Rahim Seman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PERKESO, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

PERKESO-rehab-najib
YAB Perdana Menteri merasmikan Pusat Rehabilitasi PERKESO. Kredit Gambar Facebook Julie Jalal

Pada sebelah tengahari, Perdana Menteri menunaikan solat di Masjid Sayyidina Abu Bakar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka(UTeM) bersama kira-kira 5,000 jemaah termasuk Tuan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob; YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Hj. Idris bin Hj. Haron serta Menteri Pengajian Tinggi; YB Dato’ Seri Idris Bin Jusoh.

perdana-menteri-UTeM
Perdana Menteri bergambar dengan warga UTeM. Kredit Gambar Facebook UTeM

Pada sebelah petang, Perdana Menteri meneruskan lawatan ke Tehel dalam Majlis Penyerahan Kunci Program Perumahan Rakyat (PPR) Tehel pada kira-kira 3.30 petang. Majlis yang berlangsung di PPR Tehel itu menyaksikan Perdana Menteri merasmikan majlis, menandatangani plak, melawat rumah contoh serta makan bersama para penghuni PPR Tehel.

YAB Perdana Menteri menikmati juadah petang bersama penghuni rumah PPR Tehel. Kredit Gambar Facebook Ng Choon Kong

Beliau juga telah menyampaikan kunci kepada 10 penerima PPR yang merupakan satu usaha kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi membantu golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah atau B40. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Hj. Idris bin Hj. Haron; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Othman Muhamad; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar serta Timbalan, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Acara akhir lawatan Perdana Menteri kira-kira jam 5.30 petang di Seri Bendahara bagi program Perjumpaan Khas Jentera Pilihanraya BN Negeri Melaka yang dihadiri oleh barisan ahli politik Barisan Nasional Melaka.

YAB Perdana Menteri dan YAB Ketua Menteri dalam Majlis Taklimat Khas Jentera Pilihanraya BN Melaka. Kredit Gambar Facebook Datuk Hjh Norpipah Abdol

Kira-kira jam 7.00 petang, YAB Perdana Menteri berlepas pulang melalui LTAM Batu Berendam serta menamatkan lawatan kerja sehari beliau ke Melaka.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *