Jerebu di Melaka semakin kritikal

Minggu ini Melaka diselubungi dengan jerebu teruk.  Fenomena jerebu ini berlaku akibat dari pembakaran terbuka yang dilakukan oleh negara jiran, Indonesia yang mana asapnya telah pergi ke kawasan berhampiran termasuk di Malaysia dan Singapura. Masalah yang mula dikesan pada 16 Jun 2013 yang lalu terus mengakibatkan masalah kesihatan yang teruk di Melaka. Kesan jerebu boleh dilihat apabila terasa gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk, terasa sukar untuk bernafas atau sesak nafas, mata pedih dan berair, hidung berair dan kerap bersin, kulit badan terasa gatal-gatal atau terasa sakit dada. Di Melaka, keadaan jerebu ini mencapai tahap yang tidak sihat apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) berada dalam kedudukan tidak sihat iaitu sekitar 150 -200.  Selain dari masalah kesihatan, ia juga member kesan kepada sektor pelancongan di negeri Melaka sekaligus member kesan juga kepada ekonomi di negeri Melaka.

Gambar Jerebu di MITC

Pemandangan Jerebu di sekitar PKNM (Sebelum dan Selepas)

Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Ir. Idris Haron telah menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada berikutan IPU di negeri ini yang semakin menghampiri tahap kritikal. Mengikut maklumat yang diberikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 22 Jun 2013, kadar IPU di Bandaraya Melaka mencapai angka 170 – 190.

Kerajaan Negeri Melaka juga telah mengeluarkan arahan serta merta supaya aktiviti luar murid-murid dihentikan manakala Tadika KEMAS, Perpaduan serta JAIM ditutup serta merta.  Jabatan Ketua Menteri Melaka juga telah mengedarkan 25,000 unit topeng jerebu secara percuma kepada orang ramai dan Jabatan Kesihatan Negeri juga turut mengedarkan 25,000 unit kepada orang ramai.

jerebu-melaka

Keadaan jerebu di sebuah pantai di Melaka, pemandangan laut yang cukup kabur

Jabatan Alam Sekitar Negeri juga mengumumkan bahawa pembakaran terbuka amatlah dilarang di Melaka dan boleh dikenakan tindakan undang-undang melalui Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekitar dimana mereka yang bersalah akan dikenakan tindakan denda sebanyak RM500,000 atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Melaka Hari Ini

Jadi kepada sesiapa yang mengalami masalah kesihatan akibat dari jerebu, cepat-cepatlah ke pusat kesihatan berdekatan anda. Sila rujuk laman web Jabatan Kesihatan Melaka dan Jabatan Alam Sekitar untuk maklumat lanjut mengenai masalah kesihatan dan keadaan jerebu.  Sekiranya ada yang melihat masalah alam sekitar atau kebakaran boleh merujuk di 03-88891972 atau 1-800-88-2727 atau Jabatan Bomba atau Jabatan Pertahanan Awam. Ini bagi mengelakkan masalah jerebu ini menjadi lebih teruk lagi. Semoga masalah jerebu ini dapat diselesaikan oleh pihak berkaitan dan diharap ia tidak berulang di masa hadapan.

3 Comments

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *