Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Melaka 2012

 

Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Melaka telah mengadakan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Negeri Melaka bermula pada 16 September 2012 (Ahad) sehingga 18 September 2012 bertempat di Dataran Sejarah, Ayer Keroh Melaka. Pameran yang diadakan untuk mempromosi sektor pertanian , penternakan dan nelayan ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Wira Yaakub bin Md Amin, EXCO Kerajaan Negeri Melaka mewakili YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Hj. Mohd Ali bin MOhd Rustam pada 16 September 2012. Program ini melibatkan jabatan dan agensi kerajaan, persatuan peladang dan nelayan serta beberapa agensi swasta.

Tema Hari Peladang, Penternak dan Nelayan tahun ini iaitu ‘ Transformasi Pertanian Melalui Inovasi’ merupakan penunjuk aras bagi kemajuan para peladang, penternak dan nelayan sekitar negeri Melaka. Melalui program ini peladang, penternak dan nelayan dapat menambah ilmu pengetahuan secara terbuka pada hari tersebut sambil dapat memberikan input-input berguna kepada orang awam. Dalam majlis ini juga Peladang, Penternak dan Nelayan berjaya diberi pengiktirafan oleh kerajaan sekaligus memberikan motivasi kepada rakyat untuk menceburi bidang pertanian.

Program ini telah melibatkan puluhan agensi kerajaan dan swasta yang membuka ‘booth’ masing-masing. Pameran oleh agensi berkaitan menunjukkan perkhidmatan yang disediakan serta terdapat khidmat nasihat yang diberikan. Di baris hadapan, agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Malaysia (FAMA) , Jabatan Pertanian Malaysia, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Lembaga Pertubuhan Peladang, Jabatan Veterinar dan banyak lagi agensi kerajaan yang terlibat. Bagi pihak swasta pula terdapat promosi dan jualan produk-produk berkaitan pertanian ataupun penternakan. Ini member peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan produk-produk pertanian. Antara produk yang dipamer dan dijual adalah produk pertanian seperti benih, baja, bahan ternakan serta peralatan yang untuk kegunaan pertanian, penternakan dan juga peralatan nelayan. Para pengunjung dapat melihat dengan dekat peralatan seperti mesin membajak tanah, binatang ternakan seperti kambing, ayam dan banyak lagi yang dipamerkan. Agensi berkaitan juga menunjukkan demonstrasi kegunaan peralatan serta member penerangan lanjut tentang bahan pameran. Hadiah-hadiah juga turut disediakan dalam program selama 3 hari ini dimana terdapat agensi-agensi yang mengadakan pertandingan untuk menarik pengunjung seperti Jabatan Perikanan yang mengadakan Pertandingan menangkap belut,  Jabatan Pertanian mengadakan pertandingan Hasil Pertanian dan banyak lagi pertandingan yang diadakan.

Para peniaga bahan pertanian juga turut menjual produk pertanian seperti buah-buahan, produk hasil dari industri asas tani. Selain memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung, produk tersebut dijual dengan harga yang murah. Ia member peluang kepada peminat produk pertanian dan penternakan untuk mendapatkan barang-barang berkaitan dengan harga yang berpatutan sambil mendapat khidmat nasihat yang lengkap.Selain itu terdapat gerai-gerai makanan dan minuman disediakan untuk kemudahan pengunjung yang datang ke tapak program.

Program yang dilaksanakan selama 3 hari ini dijangka akan mendapat kunjungan ribuan pengunjung dari dalam dan luar negeri melalui promosi yang dianjurkan. Ini berdasarkan lokasi strategic majlis ini iaitu terletak di kawasan laluan lebuhraya Ayer Keroh. Lokasi bersebelahan Zoo Melaka  serta berhampiran pusat pentadbiran Kerajaan Negeri dan Persekutuan Melaka membantu dalam meningkatkan lagi bilangan pengunjung ke program tersebut.
Program yang diadakan secara tahunan ini merupakan antara majlis yang patut anda kunjungi. Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang program ini, sila rujuk laman web Lembaga Pertubuhan Peladang atau hubungi no 06-2824310 atau emel di lpp_melaka@lpp.gov.my

2 Comments

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *