Chua Boon Huat, Lagenda Hoki dari Melaka Dalam Kenangan

Pemain hoki kebangsaan, Chua Boon Huat meninggal dunia pada pagi Khamis akibat kemalangan. Kemalangan beliau ini mendapat perhatian ramai pihak samada peminat sukan hoki ataupun sebaliknya.  Kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) pada jam 3.00 pagi pada 1 Ogos 2013 melibatkan kereta Proton Perdana yang dipandu beliau dengan lori menyiram pokok bunga. Mendiang baru saja bersama-sama rakan skuad hoki negara berada di majlis berbuka puasa dan penerimaan insentif kemenangan.

 Chua Boon Huat ketika aksi di Piala Sultan Azlan Shah

Chua Boon Huat ketika beraksi di Piala Sultan Azlan Shah 2013

Chua yang masih bujang berumur 33 tahun dan masih lagi mewakili pasukan Malaysia serta mampu bermain di peringkat tertinggi. Beliau yang mula bermain bagi skuad senior hoki negara seawal umur 17 tahun telah mempunyai lebih dari 300 cap dan pernah bermain di Liga Hoki luar Negara seperti di Jerman, England dan New Zealand.  Sepanjang penglibatan beliau dalam arena hoki beliau banyak pencapaian yang diraih seperti mendapat pingat Gangsa di Sukan Asia 2002 Busan,pingat perak di Sukan Komanwel 1998 Kuala Lumpur, Gangsa Sukan Komanwel 2006 Melbourne dan pingat gangsa di Hoki Piala Asia 2007.

Beliau pernah menyarung jersi Malaysia di hampir kesemua kejohanan utama hoki seperti Piala Dunia, Olimpik, Piala Juara, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Piala Asia.   Selain kejohanan utama, beliau sering menjadi pilihan jurulatih kebangsaan untuk mewakili kejohanan jemputan seperti Piala Sultan Azlan Shah.  Beliau juga pernah menjadi ketua pasukan bagi skuad hoki remaja di Kejohanan Hoki Remaja Piala Dunia pada tahun 2001. Beliau juga menggunakan pengalaman beliau dengan membantu melatih skuad hoki Pahang pada Sukan Malaysia yang lalu. Mendiang yang sepatutnya akan bermain untuk kejohanan Piala Asia bermula 24 Ogos ini akan disemadikan di  Semabok, Melaka pada hari Isnin. Kehilangannya pasti dirasai oleh skuad hoki negara yang perlu menang Kejohanan Hoki Asia di Ipoh untuk melayakkan diri ke Kejohanan Hoki Piala Dunia pada tahun hadapan.

Lagenda hoki Negara ini berasal dari Bukit Cina, Melaka  dan menjadi kebanggaan rakyat Melaka amnya.  Lahir pada 3 Mei 1980 ,bakat beliau sebagai pemain hoki bermula apabila beliau mewakili Sekolah Kebangsaan Bandar Hilir, Melaka ketika darjah 4. Selepas itu bakat beliau seterusnya berkembang di Sekolah Menengah Tinggi Melaka. Sekolah yang pernah melahirkan beberapa jagoan hoki Negara sebelum ini seperti Yang Siow Meng, Koh Hock Seng, Mirnawan Nawawi dan seterusnya mendiang Chua Boon Huat. Sekolah Menengah Tinggi Melaka ini memang cukup gah dalam sukan hoki dan sering mewakili Melaka di kejohanan peringkat sekolah antara negeri.

Chua Boon Huat dan Minarwan

 

2 Lagenda Hoki Negara kelahiran Melaka, mendiang Chua Boon Huat dan Minarwan Nawawi

Mendiang merupakan seorang atlet yang disanjungi oleh seluruh peminat sukan atas dedikasi dan kekuatan beliau dalam sukan hoki negara. Jasa mendiang Chua Boon Huat pasti akan dikenang oleh peminat hoki khususnya dari Melaka.  Walaupun tiada yang dapat menggantikan beliau namun diharap negeri Melaka mampu menghasilkan lagi wira-wira sukan sehebat Chua Boon Huat.

 Takziah dari wargakerja Melakacool.com untuk keluarga mendiang Chua Boon Huat.

Sumber : BERNAMA

Wikipedia

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *