6 Perkara Yang Perlu dilakukan oleh Melaka United

Anda semua peminat bola sepak? Kalau ya, pasti anda juga mengenali pasukan Liga Super yang cool digelar Melaka United. Dengan singkatan MU pasukan ini digeruni apabila melangkah dari Liga FAM ke Liga Perdana dari musim 2015-2016.
Menjulang kejuaraan Piala FAM dan seterusnya menguasai Liga Perdana 2016 memberi petanda bahawa pasukan ‘Sang Kancil’ akan menunjukkan penguasaan pada Liga Super 2017. Walaupun pada awal-awal musim, pasukan yang dikendalikan oleh Melaka United Soccer Association (MUSA) ini tampak mampu bersaing namun di pertengahan liga pasukan ini semakin goyah.
Kegagalan untuk beraksi baik dan hanya mencatat 2 kemenangan sebelum aksi rehat Liga Super 2017 bukan petanda baik. Aksi longlai bertemu pasukan handalan seperti JDT telah membuatkan para penyokong hilang sabar.

Beberapa keputusan telah dan ingin dilakukan oleh pihak pengurusan seperti melepaskan beberapa pemain yang bergelar bintang seperti Amri Yahyah, Ilija Spasojevic serta jurulatih Eric Williams. Melaka United yang berhadapan risiko penyingkiran akan melakukan rombakan pemain tempatan dengan membawa beberapa pemain tempatan secara pinjaman.
Ini adalah usaha yang baik dilakukan oleh pengurusan MUSA tetapi Melakacool ada sedikit pendapat selaku salah seorang penyokong kecil bagi pasukan Sang Kancil. Antaranya ialah :-

1) Mungkin Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi boleh menyerahkan tugas beliau kepada individu lain. Beliau kini memegang jawatan kedua tertinggi dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan perlu memberikan fokus kepada FAM. Berilah jawatan ini kepada mereka yang berkelayakan. Pasti ada ramai yang mampu mengendalikan Persatuan Bola Sepak Melaka dengan lebih cekap.

2) Menukar jurulatih ketika dalam pertengahan Liga adalah keputusan yang tepat tapi pemilihan jurulatih perlulah yang lebih mengenali selok belok bola sepak tempatan. Sukar bagi jurulatih luar yang tidak tahu tentang keadaan bola sepak Melaka. Kalau panggil Alex Ferguson sekalipun belum tentu pasukan Melaka United boleh menjadi juara Liga Super. Tidak semesti ambil jurulatih import, sebaliknya boleh menggunakan jurulatih tempatan yang boleh mengenali keadaan di Malaysia.

3) Elakkan mengambil pemain yang sering cedera. Sergio Aguero merupakan pemain import yang baik tapi kecederaan menyebabkan prestasi beliau terbatas dan kurang berkesan. Carilah pemain import yang bukan sahaja lebih baik dari pemain tempatan tapi juga tahu berkomunikasi dengan baik. Lupakan Lionel Messi kalau nak bercakap antara satu sama lain pun tak boleh.

4) Panggil semula Nurshamil Abdul Ghani bermain untuk Melaka. Pemain muda berusia 22 tahun ini telah dipinjamkan ke Selangor tapi kurang mendapat perhatian. Dari mencari pemain import sebagai penyerang, lebih elok digunakan pemain penyerang yang pernah mewakili Harimau Muda B ini. Bagi sesiapa yang ingat, beliau amat berjasa untuk pasukan Melaka ketika di Liga FAM sekaligus memberikan kejuaraan pertama untuk pasukan Melaka. Tapi sumbangan beliau dilupakan oleh pihak pengurusan.

5) Tukarlah Melaka United Soccer Associatio ke Melaka United Football Association. Tak menarik guna perkataan Soccer tu sebab ia perkataan berasal dari Amerika Syarikat sedangkan pasukan mereka bukan hebat sangat pun.

6) Tukarlah sasaran lebih realistik. Kalau ikutkan pada awal musim, Presiden membuat sasaran untuk menang sekurang-kurangnya 1 piala. Pasukan baru nak ‘up’ jadi perlu berikan kestabilan dahulu. Sasarkan untuk kekal di Liga Super berada di kelompok pertengahan dan layak ke Piala Malaysia. Kalau awal-awal dah beri tekanan pada pemain, tu memberi kesan juga pada prestasi.

Itu serba sedikit pandangan dari seorang peminat bola sepak Malaysia. Harap-harap janganlah pasukan Melaka United terperosok kembali ke Liga Perdana.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *