4 Lokasi Jogging Menarik Di Melaka

Jogging merupakan aktiviti sihat yang menjadi popular pada masa kini. Ramai rakyat Malaysia mula melakukan aktiviti ini kerana ianya merupakan aktiviti yang paling mudah dan murah. Pelbagai acara diadakan untuk meningkatkan lagi kesedaran tentang kebaikan aktiviti berlari ini.

Bagi mereka yang mengemari aktiviti jogging ini pastinya sukar untuk meninggalkan aktiviti ini walau berada di luar dari kawasan kebiasaan. Sekiranya anda datang ke Melaka dan tidak mahu meninggalkan aktiviti jogging ini, Melakacool akan memberikan cadangan beberapa lokasi menarik yang perlu anda cuba. Antaranya ialah :-

1) Sepanjang laluan Taman Rempah, Melaka

– Berjogging di kawasan ini agak menarik dan tidak terlalu berbukit. Ramai kaki jogging melakukan aktiviti ini terutama di waktu malam. Terdapat laluan pejalan kaki yang boleh digunakan sebagai penanda untuk anda memulakan dan menamatkan larian. Melalui jalan ini anda boleh menikmati pemandangan pesisir Sungai Melaka.

taman-rempah

Jarak bergantung kepada hala tuju anda kerana anda boleh meneruskan hingga ke Bandar Melaka bergantung kepada kemampuan anda. Jaraknya boleh mencapai 10 kilometer sekiranya anda mencari laluan yang jauh.

2) Bukit China

–  Bukit China merupakan lokasi yang sering menjadi tumpuan bagi peminat sukan larian sebagai lokasi untuk latihan. Agak menarik kerana anda boleh berlari di sekitar kawasan perkuburan masyarakat Cina yang luas.  Kawasan ini juga mempunyai laluan untuk pejalan kaki yang boleh dijadikan kawasan untuk beriadah. Walaupun terdapat jirat Cina namun ramai yang melakukan aktiviti larian atau riadah di sini.

bukit-china
Seorang lelaki tua sedang berjalan di kaki Bukit China

Memandangkan ianya laluan berbukit, cabaran memang cukup lasak bagi para pelari. Keluasan 26 hektar membolehkan anda berlari melebihi dari 3 kilometer bagi satu pusingan. Ia sudah pasti boleh membuatkan kalori anda dibakar dengan pantas. Panorama di atas bukit juga cukup menarik terutama pada waktu senja. Anda boleh melihat kawasan berhampiran Bandar Melaka dengan jelas di atas bukit tersebut.

Walaubagaimanapun anda tidak digalakkan untuk berjogging seorang diri kerana terdapat risiko disebabkan ianya berada di kawasan tertutup di atas bukit.

3) Taman Rekreasi Bukit Serindit

– Lokasi riadah yang sering penuh pada waktu petang atau pagi minggu. Ratusan orang akan membanjiri lokasi ini untuk beriada terutama berjogging. Kawasan ini tidak semencabar seperti di Bukit China kerana tiada laluan berbukit. Ia lebih santai namun mempunyai cabaran tersendiri. Laluan sekitar 2 kilometer ini mempunyai laluan khusus yang memudahkan anda menyesuaikan diri dengan lokasi.

taman-rekreasi-bukit-serindit

Taman Rekreasi ini juga berdekatan dengan Stadium Hoki Tun Fatimah yang sering menganjurkan kejohanan hoki peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

4) Taman Botanikal Ayer Keroh

– Sekiranya anda ingin berjogging di kawasan yang penuh dengan kehijauan maka Taman Botanikal Ayer Keroh merupakan lokasi yang sesuai. Lokasi jogging yang agak mencabar dengan laluan berbukit ini sering menjadi tumpuan peminatnya. Laluan jalan tar ini mampu membawa anda sehingga 3 kilometer satu pusingan namun boleh bertambah berdasarkan laluan yang anda pilih.

taman-botanikal-ayer-keroh
Lokasi Taman Botanikal Ayer Keroh

Bagi yang tidak mampu berlari, boleh juga menggunakan perkhidmatan berbasikal. Di taman ini juga anda akan bertemu dengan monyet-monyet liar yang sudah jinak. Tapi awas, jangan makan di hadapan mereka kerana ia akan menarik perhatian mereka. Satu lagi, di kawasan ini juga anda boleh terserempak dengan babi hutan jadi berjaga-jagalah ketika berlari.

Berikut merupakan 4 lokasi jogging di Melaka yang dapat kami kongsikan. Mungkin banyak lagi lokasi jogging di Melaka yang mungkin anda boleh kongsikan disini.

4 Comments

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *